TAMPARULI: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menganggarkan kerugian lebih RM40 juta akibat kebakaran yang berlaku di gudang penyimpanan kabel elektrik milik syarikat utiliti itu di Batu 7 Jalan Darau Menggatal di sini, pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Haji Jaafar berkata kebakaran itu melibatkan lebih 500 kabel bawah tanah.
“Manakala punca kita masih belum kenal pasti, namun dari jangkaan awal adalah disebabkan oleh cuaca yang panas, ini kerana drum kabel itu adalah dari kayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Seikhlas Budi Sesuci Ramadan SESB di Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli, pada Khamis.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Pada Khamis, gudang penyimpanan kabel elektrik milik SESB dilaporkan mula terbakar kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.56 tengah hari.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan bantuan BBP Kota Kinabalu dan Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.