Thursday, November 21, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

PAADIAN terus perjuang bangsa dan tamadun agar tidak pupus – Dr Yusof

SIPITANG: Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) akan terus memperjuangkan bangsa dan tamadun agar tidak pupus ditelan zaman.

Presiden persatuan itu, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ia antara lain dalam aspek budaya, adat resam, bahasa untuk diteruskan oleh generasi akan datang.

Katanya, bangsa Kadayan unik dengan ada di empat wilayah di negeri ini, Sarawak, Labuan dan Brunei serta di Indonesia.

“Istilah Kadayan ini unik dan bahasanya tidak sama dengan bahasa bangsa lain,” katanya pada program Ziarah Ramadan PAADIAN di Masjid Jamek Pekan Mesapol, semalam.

Pada program itu, Dr Yusof turut menyampaikan sumbangan persatuan itu kepada 10 asnaf serta berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan terawih bersama ahli jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.

Hadir sama, Naib Presiden PAADIAN Zulhilmi Asbi dan Pengerusi Masjid Jamek Pekan Mesapol Abd Rahman Mohd Noh.

Pada masa sama, Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, persatuan itu mahu anak-anak bangsa Kadayan terus berjaya dalam bidang pelajaran dan pekerjaan yang diceburi termasuk dalam sektor awam.

Katanya, ketika ini sudah ramai anak-anak Kadayan berjaya dalam bidang itu antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong).

“Ini kita tidak mahu ketinggalan..kita juga mahu di bidang politik, bakat penyanyi, tilawah dan lain-lain lagi.Ini perjuangan kita (PAADIAN),” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, PAADIAN juga mempunyai tanah seluas lapan ekar di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Katanya, ia akan digunakan untuk menjana pendapatan persatuan antaranya membina bangunan.

Pada masa sama, Dr Yusof berkata, persatuan juga ada memohon tapak tanah daripada Kerajaan Negeri khususnya di tepi jalan Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau berharap sebuah Kompleks Kadayan di tepi laluan Lebuhraya Pan Borneo dapat dibina dengan kemudahan tempat berniaga dan lain kemudahan antaranya surau.

Popular Articles