SANDAKAN: Qhazanah Sabah Berhad (QSB) menerusi anak syarikatnya WH Medicare Sdn Bhd meneruskan usaha mengukuhkan kolabrasi dengan pihak berkepentingan dalam pengurusan pemeriksaan kesihatan pekerja asing di negeri ini.
Ini menerusi Sesi Libat Urus Bersama Majikan, Agensi Pekerjaan dan Panel Kesihatan WH Medicare Sdn Bhd yang diadakan di sini, hari ini.
Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kolabrasi dengan pihak bekepentingan dalam pengurusan pemeriksaan pekerja asing ini menjadi keutamaan agar pekerja asing ini betul-betul sihat bekerja di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri menerusi QSB komited memastikan pekerja asing ini yang dibawa ke negeri ini tidak membawa penyakit berjangkit seperti TB dan Sifilis.
“Sebab itu, pekerja asing yang dibawa bekerja ke negeri ini melalui tapisan ketat dimana perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di negara asal mereka dan setibanya di sini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus itu yang turut dihadiri beberapa wakil syarikat dari pelbagai sektor.
Hadir sama, Konsul Jeneral Republik Indonesia (Kota Kinabalu) Rafail Walangitan, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Abraham Chin Zefong, Ketua Penolong Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sahar Unggat, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah Hasnah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif WH Mediacare Annie Tseu Shui Ghen.
Pada masa sama, Dr Yusof berkata, bagi meningkatkan pemahaman pekerja asing mengenai kesihatan, syarikat-syarikat besar perlu ada program pendidikan kesihatan dengan menjemput penceramah daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Beliau mahu kolabrasi QSB dengan pihak bekepentingan ini terus dilaksanakan bagi memastikan urusan pemeriksaan kesihatan pekerja asing di negeri ini dilaksanakan dengan baik.