Monday, September 16, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Perkukuh kerjasama capai matlamat bersama – Dr Joachim

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mahu kerjasama erat serta hubungan yang baik antara Kementerian dengan agensi-agensi di bawahnya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diperkukuhkan untuk mencapai matlamat bersama.

Beliau berkata, kerja berpasukan akan lebih mendatangkan faedah ke arah mencapai matlamat yang sama.

“Kementerian mempunyai skop tugas dan tanggungjawab yang sangat luas. Daripada pengurusan perumahan, pengezonan, pembinaan pekan-pekan baharu, isu Program Perumahan Rakyat (PPR), isu setinggan kepada fungsian hal ehwal anak negeri sehinggalah kepada pentadbiran kerajaan tempatan.

“Walau bagaimanapun, disebabkan keakraban dan persefahaman antara Kementerian dan agensi serta PBT, semua perkara ini diusahakan bersama untuk mendapatkan maklumat serta berusaha ke arah menyelesaikan sesuatu permasalahan.

“Komitmen semua yang terlibat, termasuk pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini menunjukkan bahawa kita serius dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan. Syabas kepada semua yang terlibat,” kata Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II pada Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan 2024 peringkat KKTP yang diadakan di lobi Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan peringkat KKTP itu, Dr. Joachim berkata, majlis tersebut memberi peluang kepada semua warga Kementerian, agensi dan PBT untuk merapatkan lagi persahabatan dan memupuk semangat kekeluargaan.

“Kesempatan ini memberi kita peluang mengukuhkan perpaduan di kalangan kita semua dan menyemai semangat kekeluargaan di antara kita.

“Sesungguhnya, majlis ini berjaya menyatukan kepelbagaian agama dan budaya. Penganjuran dwi perayaan ini menunjukkan keharmonian di antara berbilang kaum dan latar belakang,” ujarnya.

Tujuh PBT iaitu Majlis Daerah Penampang, Majlis Daerah Sipitang, Majlis Daerah Tuaran, Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Beaufort, Majlis Daerah Kuala Penyu dan Majlis Daerah Putatan terlibat dalam menyediakan gerai jamuan pada majlis tersebut, selain Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) dan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) serta Kementerian.

Turut hadir isteri kepada Dr. Joachim, Datin Seri Linda Ewit; Pembantu Menteri I, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri II bersama Isteri, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain dan Datin Kalsom Abd Aziz; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian II selaku Pengerusi Penganjur, Faridah Giau; Pengarah-pengarah Agensi serta kakitangan Kementerian.

Popular Articles