Saturday, July 27, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Kerajaan Sabah gagal pertahankan kepentingan Sabah dalam kes semakan kehakiman SLS

Dr Ronald Kiandee… sepatutnya Kerajaan Negeri menyokong SLS.

KOTA KINABALU: Tindakan Kerajaan Negeri Sabah yang memohon menjadi pencelah dalam prosiding semakan kehakiman pemberian khas sebanyak 40 peratus dilihat sebagai usaha menghalang rakyat Sabah mendapat hak dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Perikatan Nasional Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 17 Mei 2024 menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah masih tidak faham bahawa isu sebenar adalah berkaitan hak yang perlu diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan

Bukan hanya menerima perjanjian pemberian khas dengan Kerajaan Persekutuan yang jelas tidak langsung sepadan dengan apa yang patut diterima oleh rakyat negeri Sabah.

Katanya, Perjanjian pemberian khas antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan mulai tahun 2022 untuk pemberian tahunan interim sebanyak RM125.6 juta, dengan kenaikan dalam tempoh lima tahun ( tahun 2022 hingga 2026) walaupun keputusan itu diwartakan, adalah suatu pelanggaran serius kewajipan Perlembagaan Kerajaan Persekutuan dan negeri terhadap rakyat Sabah.

“Di bawah Fasal (4) Perkara 112D semakan semula kelayakan pemberian khas perlu diadakan selewat-lewatnya pada tahun 1969, enam tahun selepas pembentukan Malaysia, dan sekali lagi pada tahun 1974 yang mana hal ini tidak pernah dilaksanakan.

“Pelanggaran itu berkemungkinan akan mempunyai beberapa kesan undang-undang yang meletakkan Sabah pada kedudukan yang tidak menguntungkan iaitu ia mungkin disifatkan sebagai penerimaan (acceptance) kepada nilai pemberikan khas,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Sabtu.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Ketua Menteri dalam kenyataan itu juga dilihat tidak konsisten dalam pendirian berkaitan isu pemberian bantuan khas ini. Sepatutnya Kerajaan Negeri Sabah menyokong tindakan SLS namun tindakan Kerajaan Negeri Sabah menjadi pencelah dalam semakan kehakiman ini sebenarnya meletakkan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan menentang SLS.

“Sepatutnya, SLS dan Kerajaan Negeri Sabah bekerjasama untuk memulakan prosiding untuk menuntut hak terakru rakyat Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan tanpa perlu membuat apa-apa perjanjian lain dengan Kerajaan Persekutuan.

“Tindakan membuat perjanjian lain itu sebenarnya mencabul hak rakyat Sabah dan menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Perlu dinyatakan bahawa perjanjian pemberian khas tersebut  langsung tidak menyatakan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan pemberian khas sebagaimana yang diperuntukan dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Sabah perlu mengkaji semula perjanjian pemberikan khas dengan Kerajaan Persekutuan, menarik diri daripada menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman ini dan memulakan prosiding mahkamah sebagai proses yang betul dan tepat bagi menuntut hak rakyat Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Ronald berkata, pelaksanaan tanggungjawab pihak-pihak yang betul dan tepat di bawah Perlembagaan Persekutuan akan memastikan semangat Perlembagaan Persekutuan dipelihara dan tentunya ia akan membantu kemajuan negeri Sabah yang telah menyumbang banyak kepada kemakmuran Malaysia.

Popular Articles