Saturday, July 27, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Sabah tegas perjuang semua hak negeri: Anifah

Anifah…kita mesti belajar dari kesilapan.

KOTA KINABALU: Pendekatan ‘tegas dan mutlak’ kerajaan Sabah dalam memperjuangkan semua hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan adalah jaminan kepada rakyat Sabah bahawa perjuangan ini masih berterusan.

Ini termasuk hak Sabah terhadap 40 peratus hasil kutipan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang sedang diperjuangkan di mahkamah pada masa sekarang.

Senator Tan Sri Anifah Aman berkata, mereka akan terus memperjuangkan semua hak negeri itu demi untuk rakyat Sabah.

Beliau berkata demikian selepas apa yang digambarkan pelbagai pihak sebagai ‘kesilapan’ oleh pihak kerajaan negeri semasa semakan kehakiman mengenai hak Sabah terhadap 40 peratus hasil kutipan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Di Mahkamah Rayuan, ‘Secara objektif, kesilapan tersebut telah membawa sesuatu yang sangat positif. Satu mesej yang jelas telah dikeluarkan bahawa Sabah tidak akan berganjak walau sedikit pun,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Parti Cinta Sabah ini berkata, kenyataan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkenaan itu adalah sangat jelas.

“Namun, kita mesti belajar dari kesilapan yang dibuat. Secara peribadi, saya melihat bahawa isu MA63 menyatukan semua rakyat Sabah walaupun terdapat perbezaan perfahaman di antara kita. Inilah yang membuat kita kuat,” katanya.

Anifah pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri dari 2009 hingga 2018 dan adalah tokoh utama dalam membawa isu MA63 ke arus perdana politik semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga adalah salah seorang pengasas bersama kumpulan MySabah dan mendorong pembentukan panel semakan MA63.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak bersetuju dan satu jawatankuasa telah dibentuk dengan Anifah menjadi pengerusi bersama-bersama Menteri Undang-undang ketika itu, Datuk Nancy Shukri dari Sarawak.

Pada 2018, beliau keluar dari parti lamanya, UMNO dengan alasan parti dan BN gagal menunaikan janji MA63.

Anifah yang juga Penasihat Khas Hubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri ketika ini menekankan bahawa beliau mahu rakyat Sabah menerima layanan yang sama, seperti rakyat lain dan mendapat hak penuh, tanpa sebarang kelewatan dan alasan.

“MA63 adalah titik permulaan pembentukan persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia hari ini,” kata Anifah seperti yang dipetik pada masa itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengesahkan secara tegas bahawa Sabah tidak akan melepaskan hak perlembagaan asasnya berkaitan dengan geran khas 40 peratus hasil Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata bahawa ini adalah hak kewangan negeri dan ‘jauh lebih daripada sekadar
aspirasi.’

Dalam prosiding rayuan Khamis minggu lalu, kemasukan saat akhir kerajaan negeri sebagai “pencelah” menyaksikan peguam yang mewakili pejabat Peguam Besar negeri, Tengku Fuad Ahmad, mempersoalkan locus standi Persatuan Undang-undang Sabah (SLA) dalam memohon semakan terhadap hak hasil 40 peratus negeri.

Fuad berkata, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan ‘bukanlah hak mandatori atau mutlak’ dan bahawa ‘geran khas hasil 40 peratus adalah satu aspirasi, sesuatu yang harus diusahakan daripada hak mutlak di bawah mandamus.”

Kerajaan Negeri bagaimanapun, menolak dakwaan tersebut.

Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof yang berdepan dengan desakan pelbagai pihak untuk meletakkan jawatan berhubung pengendalian perkara tersebut, memberi jaminan bahawa pejabatnya akan mengambil langkah untuk membetulkan ‘kenyataan yang tersasar’ oleh peguamnya.

“Pejabat Peguam Besar Negeri akan mengambil langkah yang perlu untuk membetulkan sebarang kenyataan yang tersasar daripada pendirian rasmi dan jelas negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Anifah merayu agar rakyat bertenang supaya isu ini dapat ditangani demi kepentingan terbaik negeri dan rakyat.

“Apa sahaja tindakan dan keputusan yang kita buat mesti demi kepentingan terbaik Sabah dan rakyat.

“Perjalanan kita dalam memperjuangkan hak kita telah lama. Siapa tahu bila kita akan mencapai matlamat kita.

“Tetapi tidak wajar untuk kita berpecah dan menjadikan pihak tertentu sebagai musuh sepanjang perjalanan ini. Kita semua bersama dalam hal ini,” katanya.

Popular Articles