“3,132 orang ditipu sejak 2021 hingga April lalu”
KUALA NERUS: Guru merupakan antara golongan yang kerap menjadi mangsa sindiket “scammer” (penipuan) di negara ini dengan purata tiga orang terperdaya setiap hari.
Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, DCP Dato’ Kumaran Karuppannan berkata, berdasarkan statistik antara tahun 2021 hingga April lalu, seramai 3,132 guru menjadi mangsa sindiket penipuan.
Katanya, kerugian keseluruhan yang dialami warga pendidik akibat sindiket penipuan berkenaan sepanjang tempoh dua tahun empat bulan tersebut dianggarkan lebih RM30 juta.
“Secara perinciannya, paling ramai 2,418 guru menjadi mangsa penipuan “online” sama ada menerusi e-mel, laman web dan media sosial.
“Mangsa penipuan berkaitan skim pelaburan palsu pula seramai 457 orang, manakala 257 orang menjadi mangsa kes penipuan menggunakan modus operandi menyamar pegawai bank, penguatkuasa dan mahkamah,” katanya ketika merasmikan program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik di Kuala Nerus, Terengganu, pada Rabu.
Beliau berharap usaha Polis Diraja Malaysia itu dapat menyemai kesedaran dan kecelikan dalam kalangan warga pendidik agar tidak terus menjadi mangsa penipuan siber pada masa depan.
Sumber: PDRMsia_Official