Monday, June 17, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Parti KDM akan letak calon di DUN Pintasan dan Kadamaian

Dari kiri, Kanul Gindol, Danny Leinsin Limpakan dan Zamal Intim di Kg Tokulung pada Ahad.

KOTA BELUD : Sembilan cawangan baru Parti Kesejahteraan Demokrasi Masyarakat (KDM) dilancarkan dalam Daerah Mengundi Losou, Kadamaian di sini pada Ahad.

Penasihat KDM DUN Kadamaian, Kanul Gindol,  melancarkan sembilan cawangan baru itu pada satu majlis ringkas di kediaman Madius Banawas @ Muluk, bekas ketua cawangan Star di Kampung Tokulung.

“Ini petanda positif rakyat Kota Belud khususnya Kadamaian mahu perubahan melalui parti KDM. Saya yakin ramai menyokong parti KDM pada pilihanraya umum Sabah yang bakal diadakan dalam tempoh 10 bulan ini,” katanya yang mewakili Ketua Bahagian KDM Kota Belud, Datuk Almudin Kaida.

Kanul juga menyatakan usaha KDM Kota Belud pada masa ini menumpu di dua daripada empat DUN yang ada iaitu di DUN Kadamaian dan DUN Pintasan dan sedang mendapat perhatian dan sokongan di luar dugaan.

“Dalam masa terdekat kita akan berkumpul bersama semua ketua dan pemimpin cawangan dari 16 daerah mengundi Kadamaian yang meliputi lebih 73 buah kampung, dan kita akan tahu potensi kekuatan perubahan yang kita bawa.

“KDM dijangka meletakkan calon di Pintasan dan Kadamaian pada PRN ini dan kita sudahpun mengenal pasti bakal-bakal calon kita untuk pertimbangan Parti,” katanya lagi disambut tepukan bersemangat hadirin.

Terdahulu, penyelaras KDM Kadamaian, Zamal Intim, dalam ucapannya memuji ketua-ketua cawangan baru KDM itu sebagai berani dan berpandangan jauh kerana antara sebab lain daerah mengundi Losou merupakan tempat asal ketua PGRS Kadamaian serta pernah menjadi kubu PBS dan Star sebelum ini.

“Ini bukan pertemuan yang pertama dan terakhir kita. Kita akan datang lagi ke sini dan kampung-kampung dalam daerah mengundi ini sehinggalah Dewan Undangan Negeri dibubar yang dijangka tidak berapa lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha KDM Kadamaian, Danny Leinsin Limpakan, yang turut berucap berkata KDM bakal menjadi “kingmaker” pada PRN Sabah kali ini, sama seperti SCA pada PRN pertama Sabah pada 1967 bilamana Usno dan Upko ketika itu masing-masing menang 15 dan 12 kerusi tapi tidak mencukupi untuk membentuk majoriti, dan perlu sokongan tujuh kerusi SCA.

Pada 1967, Sabah hanya ada 34 kerusi DUN. Kini ia ada 73 kerusi DUN.

Leinsin kemudian menyerahkan borang keahlian kepada Madius untuk diedar di sembilan cawangan baru berkenaan yang antara lain meliputi Kg Losou Podi, Kg Losou Minunsud, Kg Tokulung, Kg Gonok, Kg Wani, Kg Kebidahan dan Kg Bundu Lapak.

Pemimpin KDM Kadamaian yang turut hadir ialah naib 1, Javier Dingkisa yang juga bekas ketua parti Muda Kadamaian, bendahari Wilmon Santing dan AJK Alvin Muaji.

Popular Articles