Wednesday, July 3, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Phoong mengalu-alukan hubungan ekonomi  antara Sabah dan Jepun.

Wakil penganjur menyampaikan cenderahati kepada Setiausaha Politik MIDE, Chan Loong Wei (kanan) selepas merasmikan Forum ESG Sabah – Jepun di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe mengalu-alukan hubungan ekonomi yang kukuh dan berkekalan antara Sabah dan Jepun.

“Jepun telah menjadi rakan perdagangan penting bagi rantau ini, dan sikap saling menghormati serta perkongsian ekonomi antara negara kita telah berkembang sejak 1980-an di bawah Dasar Pandang Ke Timur.

“Jepun juga berdiri sebagai negara keempat rakan perdagangan terbesar Sabah, menyumbang 7.9% daripada jumlah eksport Sabah ke Jepun berjumlah RM2,936 juta, mewakili 9.4% daripada jumlah eksport negeri itu,” kata Phoong sambil menegaskan bahawa angka-angka ini menekankan hubungan ekonomi yang teguh dan penting antara Sabah dengan Jepun yang terus berkembang lebih kukuh.

Teks ucapan Phoong disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Chan Loong Wei semasa Forum ESG Sabah-Jepun yang diadakan di Hyatt Centric di sini, hari ini.

Phoong berkata sebagai peralihan rantaian bekalan global ke arah kemampanan tenaga dan ekonomi rendah karbon, perkongsian dan pelaburan dari Jepun adalah kritikal.

“Kerjasama antara Sabah dan Jepun akan menjadi kunci dalam memanfaatkan kepakaran dan teknologi Jepun untuk memacu inovasi dan kemampanan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berjaya meraih potensi pelaburan bernilai RM1.45 bilion dan eksport RM550 juta semasa lawatan kerja mereka ke Jepun.

Sehubungan dengan itu, Phoong menggalakkan pelabur dan perniagaan Jepun untuk mempertimbangkan Sabah dengan serius.

“Sabah menawarkan persekitaran yang kondusif untuk syarikat dan pelabur Jepun. Kami telah bekerjasama rapat dengan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Takahashi Katsuhiko, dan persatuan perdagangan Jepun, termasuk JACTIM dan JETRO.

“Kedudukan Sabah yang dekat dengan Jepun meletakkannya sebagai pemain penting dalam perjalanan ke arah pembangunan penyelesaian tenaga mampan di rantau ini,” katanya.

Antara yang hadir semasa Forum ESG Sabah -Jepun di Kota Kinabalu, hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan Sabah teruja untuk mengalu-alukan pelabur Jepun untuk meneroka potensi pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan industri semikonduktor.

“Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah juga merakamkan ucapan terima kasih kepada penganjur Forum ESG Sabah-Jepun atas usaha mereka dalam melancarkan acara penting ini,” ujarnya.

Hadir sama ialah Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Yamashita Yoshito, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Thomas Logijin, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Timbalan Pengerusi Invest Sabah Berhad, George Wong dan Pengerusi Penganjur Forum, Hiro Chai.

Popular Articles