Sekumpulan doktor pakar dari Kota Kinabalu, Sandakan, Keningau dan Lahad Datu menunjukkan ketulan yang berjaya dibuang.

Oleh Nilam Raon
LAHAD DATU (Rabu 3 Ogos): Seorang wanita yang menderita selama lapan tahun akibat ketumbuhan besar di bahagian mukanya, kini berasa lega selepas berjaya menjalani pembedahan di Hospital Lahad Datu (HLD).
Nur Patma Jimlani 40, berkata, di peringkat awal ketumbuhan Pleomorphic Adenoma yang dialaminya hanyalah seperti biji kecil di tepi pipinya. Namun ia semakin membesar setiap hari.
“Saya tidak merasakan sebarang kesakitan pada ketumbuhan ini. Namun saiznya yang semakin membesar telah membataskan dan menyukarkan saya melakukan aktiviti fizikal seharian,” katanya.
Jelasnya, sebelum ini dia pernah mendapatkan rawatan di seluruh Sabah termasuk hospital swasta namun banyak pihak menolak untuk menjalankan pembedahan disebabkan saiz ketumbuhan pada wajahnya yang sudah membesar.
“Kini saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua doktor yang terlibat kerana melakukan pembedahan membuang ketumbuhan ini,” tambahnya.
Hospital Lahad Datu melakar sejarah apabila sekumpulan doktornya membedah dan membuang ketumbuhan besar di bahagian muka Nur Patma. Ini adalah pembedahan pertama yang dilakukan di hospital daerah ini.
Pengarah Hospital Lahad Datu Dr Andi Shamsurezal Datuk Mohd Sainal berkata, prosedur pembedahan itu berjalan selama tiga jam pada Rabu.
Katanya, ketumbuhan seberat 1.03 kilogram itu berjaya dibuang hasil gabungan kepakaran dan kerjasama doktor pakar dari Kota Kinabalu, Sandakan, Keningau dan Lahad Datu.
Sementara itu Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial, Dr Rubinderan Muthusamy berkata, jika ketumbuhan itu dibiarkan, pesakit akan mengalami beberapa komplikasi kesihatan dan membataskan pergerakan fizikal pesakit.
“Jika pertumbuhan ini semakin besar, pesakit susah untuk memandang kiri dan kanan serta menyebabkan sakit tengkuk.
“Selain itu, ia juga boleh menekan saluran pernafasan dan darah. Keadaan ini pasti menyebabkan pesakit mengalami masalah psikologi hingga mengganggu kehidupan sehariannya,” katanya.