Vivian bergambar bersama keluarga Puan Chang (baju hijau) ketika mengunjungi pejabatnya.
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan terharu menerima kunjungan setiap pengundi di kawasan yang pernah dibantunya. Ini bermakna mereka menghargai bantuan yang dihulurkan oleh wakil rakyat mereka.
Baru-baru ini Vivian Wong Shir Yee menerima kunjungan seorang warga emas Puan Chan, 64, dan keluarganya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan.
Puan Chan membuat kunjungan itu untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Vivian dan pasukannya yang telah membantu sehingga pembedahan katarak pada matanya dapat dilakukan, baru-baru ini.
“Saya terharu dengan kunjungan itu kerana ini juga merupakan tanggungjawab saya dalam membantu rakyat bersama pasukan pusat itu. Puan Chan telah datang ke pejabat Disember tahun lalu untuk mendapatkan bantuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Dengan bantuan itu, Puan Chan mendapat temujanji untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan jadual pembedahan katarak mata kanannya pada tahun ini.
Pembedahan tersebut juga telah berjaya dan Puan Chan kini sedang dalam proses menyesuaikan diri mengguna kaca mata hitam untuk mata kanannya. Pembedahan katarak untuk mata kiri akan dijadualkan kemudian.
“Saya sangat gembira kerana pasukan saya telah menjalankan tugas dengan baik untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Vivian.
Puan Chan telah menunggu untuk pembedahan matanya selama tiga tahun.
Untuk itu, tahun ini, beliau memutuskan untuk mendapatkan bantuan daripada pejabat parlimen.