Sunday, September 8, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

BENARKAH wujud ‘pantang larang’ makan durian atau sekadar mitos?

Daripada segi saintifik, tidak wujud makanan panas, sejuk atau berangin, justeru mengaitkan pantang larang memakan durian dengan makanan tertentu sekadar mitos.

Ini penjelasan pakar

KETIKAmusim durian, semua orang harus memahami cara pemakanan buah itu bagi memastikan mereka tidak berdepan kesan tidak baik

Sering kita mendengar dan membaca bahawa durian tidak boleh dinikmati bersama makanan atau minuman tertentu.

Antara jenis makanan yang dikatakan ‘pantang’ diambil ketika, sebelum dan selepas memakan durian adalah yang berangin, pedas, berminyak serta tinggi protein, manakala minuman harus dielakkan pula ialah kopi, berkarbonat, alkohol serta produk tenusu.

Ketidakpatuhan kepada ‘pantang larang memakan durian’ itu didakwa boleh menyebabkan gabungan makanan tidak sesuai kepada badan.

Ia sekali gus didakwa boleh mengakibatkan tindak balas tidak baik, sehingga individu tersebut demam, muntah, pitam, rebah, pengsan atau keracunan ringan.

Mengulas dakwaan itu, pakar pemakanan, Profesor Hamid Jan Jan Mohamed berpendapat, pantang larang memakan durian itu hanya ‘mitos’ kerana ia tidak dibuktikan secara saintifik.

Malah katanya, daripada segi saintifik, tidak wujud ‘makanan panas dan sejuk’ atau makanan berangin, sebaliknya ia adalah istilah berdasarkan mitos.

Pakar pemakanan, Profesor Hamid Jan Jan Mohamed berkata, durian dikaitkan sebagai makanan panas kerana kalorinya tinggi, iaitu setiap 100 gram mengandungi kira-kira 140 kalori atau lebih kurang segelas teh tarik.

“Berkaitan insiden kesan sampingan tidak baik selepas makan durian, ia dikaitkan dengan durian mungkin kerana makanan akhir dimakan individu itu sebelum dia merasa kurang sihat adalah durian.

“Situasi kesihatan kurang baik dialami seseorang biasanya tidak disebabkan oleh makanan kecuali arak atau alkohol. Jadi bila seseorang itu tidak sihat dan kebetulan dia makan durian bersama coca-cola misalnya, ia dikatakan berpunca daripada durian, (tetapi) ia mitos,” katanya kepada Scoop.

Hamid Jan berkata, durian dikaitkan sebagai makanan panas kerana kalorinya tinggi, iaitu setiap 100 gram mengandungi kira-kira 140 kalori atau lebih kurang segelas teh tarik.

“Tetapi 100 gram sikit sahaja, itu durian boleh kita makan, jadi kalau kita makan katalah lima atau enam ulas, kita dah ambil banyak kalori dan badan kita akan respons dengan menaikkan suhu tubuh kerana kalori adalah haba.

“Apa kita makan perlu berpada-pada, durian itu kalorinya tinggi dan bila kita makan pula banyak ulas, badan kita akan bertindak-balas untuk metabolisme kalori tu.

“Jadi tindak balas metabolisme ini menyebabkan suhu badan meningkat sebab itu ada orang sampai demam, ada sakit tekak bila terlalu banyak makan durian,” katanya.

Durian bagaimanapun tidak sesuai dimakan dalam tempoh empat jam sebelum dan selepas menikmati sebarang hidangan berat kerana ‘raja buah’ itu mengandungi protein sangat tinggi, jadi ia boleh dijadikan hidangan utama harian, sama ada makanan tengah hari atau malam.

Ditanya mengenai dakwaan mengatakan durian tidak sesuai dimakan dalam tempoh empat jam sebelum dan selepas menikmati sebarang hidangan berat, Hamid Jan berkata, kenyataan itu ada kebenarannya.

Jelasnya, durian adalah jenis makanan berat yang turut dikategorikan sebagai antara buah mengandungi protein sangat tinggi, jadi ia boleh dijadikan hidangan utama harian, sama ada makanan tengah hari atau malam.

“Bila kita makan sebiji durian saiz besar, kalorinya hampir sama dengan satu atau dua pinggan nasi, jadi lepas makan durian tu jangan makan nasi atau anggap lah itu sajian tengah hari kita.

Diminta tips memakan durian tanpa mendapatkan kesan ‘panas badan’, Hamid Jan berkata, individu dinasihatkan menjamu sedikit sahaja buah itu dan meminum air dalam kuantiti banyak untuk menurunkan suhu tubuh.

“Apapun, tiada bukti saintifik durian menyebabkan orang ‘tumbang’ kerana logiknya, kalau benda (makanan) tu sebabkan ramai-ramai tidak sihat, boleh kaitkan, tapi setakat ini tiada penjelasan saintifik bagaimana durian dan sesuatu makanan (contoh makan pedas) sebabkan sakit, itu mitos,” katanya.

Menurut Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, durian tidak sesuai dimakan dalam kuantiti yang banyak bukan kerana ‘panas’ tetapi kandungan kalori yang tinggi.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh turut senada bahawa ‘gelaran’ panas diberikan kepada durian adalah kerana kalorinya tinggi, bukan disebabkan ia sememangnya buah bersuhu panas.

Justeru, kesan buah itu kepada badan seseorang bergantung kepada jumlah ulas dimakan mereka.

Tegasnya, durian harus dimakan dalam ‘kuantiti selamat’ kerana pengambilannya dalam jumlah banyak boleh memudaratkan.

“Kalau ikut durian ini buah istimewa, ia tinggi kalori, lemak, gula dan karbohidrat, jadi bila ada semua kombinasi itu, orang kata dia macam panas (apabila dimakan dalam kuantiti banyak).

“Ia bukan pasal panas (durian) tu tapi pasal kalori banyak, durian ni banyak gula jadi bila makan selalu atau hari-hari, individu boleh gemuk,” katanya.

Individu yang menghidap kencing manis dan darah tinggi atau mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan tidak digalakkan menikmati durian dalam jumlah tidak terkawal.

Dr Sharifa Ezat berkata, durian adalah buah tidak boleh dinikmati sesuka hati individu penghidap kencing manis atau darah tinggi atau mereka yang mempunyai berat badan lebih.

“Satu ke dua ulas je patutnya, sekadar merasa, kena minum banyak air suam, bila makan durian waktu malam ia menyebabkan kita cepat gemuk kerana kalorinya tinggi.

“Tapi isu orang pengsan sebab makan durian saya rasa ada sebab lain kerana setengah orang, mungkin alergik kepada buah ini atau baunya, apa-apa benda atau makanan boleh sebabkan alergik,” katanya. – scoop.com

Popular Articles