Sunday, September 8, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Kerajaan profesional tuntut 40 peratus mengikut formula perlembagaan – Brenndon

KOTA KINABALU : – Kerajaan Sabah secara profesional dan berdedikasi melaksanakan tugas dengan sebaiknya bagi menuntut Pemberian Khas sebanyak 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh berkata, berdasarkan rekod, terdapat tuntutan awal secara bertulis telah dibuat pada 10 Jun 2022 yang diserahkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia mengikut formula perlembagaan yang ditetapkan dalam Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tuntutan itu dihantar sebagai persediaan untuk proses rundingan yang dijalankan antara Kerajaan dan kerajaan Sabah sentiasa bersedia dalam hal berkenaan.

“Sebagai sebahagian daripada ‘interim arrangement’ yang dipersetujui antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan serta untuk memastikan rundingan yang telus dan konstruktif antara pihak-pihak, data kewangan yang melibatkan hasil yang diperolehi daripada Sabah hendaklah didedahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah. 

“Data kritikal yang diperlukan melibatkan hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan daripada cukai, duti kastam, lesen, yuran dan denda antara lain (“data kewangan”).

“Secara dalaman, satu Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah (‘Jawatankuasa Kerajaan Negeri’) telah ditubuhkan yang terdiri daripada anggota utama perkhidmatan awam termasuk Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah bersama dengan penasihat bebas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Brenndon berkata, sejak tahun 2022, sebanyak lapan permohonan rasmi telah dibuat oleh Kerajaan Sabah kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan data kewangan yang dikehendaki. 

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri Sabah tidak menerima sebarang maklum balas daripada permohonan tersebut.

Justeru katanya, perkara itu telah dibawa kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JTMTPMA63) pada 28 Mei lalu. 

“Kerajaan Sabah telah memaklumkan kepada JTMTPMA63 bahawa Kerajaan  Sabah akan mengambil inisiatif untuk mengira hasil bersih berdasarkan data kewangan yang sedia ada. JTMTPMA63 telah dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia bahawa rundingan akan diadakan secara berasingan pada bulan Jun 2024.

“Memandangkan kekangan dari segi masa dan data, Jawatankuasa Kerajaan Negeri telah menyediakan tuntutan rasmi yang dikemaskini sebagai persediaan untuk rundingan yang akan diadakan. 

“Tuntutan tersebut telah dihantar kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada 18 Jun lalu dengan surat susulan pada 11 Julai 2024. Sehingga kini, Kementerian Kewangan Malaysia masih belum memberi sebarang maklum balas secara bertulis. 

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan Malaysia pada 16 Julai lalu telah mengesahkan di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk membincangkan kadar Pemberian Khas baharu untuk Negeri Sabah.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Sabah tetap bersedia dan mampu untuk memulakan rundingan lanjut mengenai Pemberian Khas yang layak diterima oleh Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Brenndon berkata, Kerajaan Sabah ingin menegaskan bahawa melalui rundingan bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah telah menerima peningkatan pembayaran Pemberian Khas secara penyelesaian interim (tanpa menjejaskan hak perlembagaan) sebanyak RM125.6 juta pada tahun 2022 dan RM300 juta pada tahun 2023.

“Selaras dengan Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan  Sabah tidak dapat mencapai persetujuan mengenai mana-mana perkara berkaitan semakan Pemberian Khas, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada penaksir bebas dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kepada kedua-dua Kerajaan,” katanya.

Popular Articles