Thursday, September 19, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

210 kekosongan perjawatan doktor seluruh klinik kesihatan di Sabah

James Ratib…perlu diisikan dengan segera.

BELURAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisi 210 kekosongan perjawatan Pegawai Perubatan (doktor) di Klinik Kesihatan seluruh negeri Sabah.

Menurut beliau, jawatan kosong itu perlu diisi bagi membolehkan perkhidmatan yang lebih berkesan diterima rakyat khususnya di kawasan luar bandar (pedalaman).

“Di kawasan Beluran sahaja, seramai 26 perjawatan Pegawai Perubatan (doktor) belum diisi termasuk di Klinik Kesihatan Sungai-Sungai seramai tiga orang.

“Untuk rekod, Klinik Kesihatan Sungai-Sungai menerima pesakit harian purata seramai 70 hingga 90 orang, dan klinik ini dilengkapi dengan Pembantu Perubatan (MA) sahaja.

“Saya juga minta kepada KKM supaya semua perjawatan di Klinik Kesihatan dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di seluruh Sabah yang masih kosong supaya diisi,” katanya.

James yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata demikian sempena siri lawatan kerja 3 hari ke beberapa Klinik Kesihatan (KK), Klinik Ibu dan Anak (KKIA) dan Hospital pada 27 -29 Julai 2024.

Antara pusat-pusat yang dilawati beliau ialah Klinik Kesihatan Sungai-Sungai, Klinik Kesihatan Tangkarason di Paitan, Klinik Ibu dan Anak Beluran dan Hospital Beluran.

Sementara itu, berkenaan status pembinaan Klinik Kesihatan Tangkarason, beliau dapati kerja-kerja pembinaan berjalan perlahan dengan kemajuan kerja setakat 27 Julai lalu, lebih kurang 30% siap.

“Ini sudah lewat dari jadual. Bagaimanapun difahamkan kelewatan ini disebabkan oleh faktor cuaca hujan semasa kerja-kerja tanah. Saya juga diberitahu, projek ini siap dalam bulan Oktober atau November,” katanya.

Bangunan klinik kesihatan Tangkarason yang diperbuat daripada kayu, musnah dalam kebakaran pada Febuari 2024 yang lalu dan pembinaan semula bangunan ini melibatkan kos sebanyak RM989,000.

“Apapun alasan, saya akan sentiasa memantau dari masa ke semasa kerja-kerja pembinaan bangunan ini dan mempastikan projek ini siap mengikut jadual dan tidak dikategorikan sebagai projek sakit.

“Untuk sementara waktu, perkhidmatan Klinik Kesihatan Tangkarason, beroperasi seperti biasa di bangunan Mini Dewan Kg. Tangkarason dengan kemudahan fasiliti perubatan yang terhad dan tidak kondusif.

“Selaku Exco Kesihatan negeri Sabah, saya mahu supaya semua staf seperti Pegawai Perubatan (Doktor), Pembantu Perubatan (MA) dan Jururawat di klinik-klinik kesihatan di negeri Sabah terutama kawasan luar bandar (pedalaman) memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan,” kata beliau.

James yang juga ADUN Sugut menambah, para pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan berhak menerima layanan dan perkhidmatan yang sepatutnya.

“Ini bagi mengelakan perkara-perkara tidak diingini berlaku ke atas pesakit dan juga aduan orang ramai berkaitan ketidakpuashati kualiti perkhidmatan,” jelas beliau.

Popular Articles