Friday, November 22, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Bahasa Kadazan Dusun tidak akan hilang ditelan zaman

Madius…syukur pengambilan guru pelatih BKD telah dibuka semula pada setiap tahun di Institut Pendidikan Guru Kent, Tuaran.

Perasmian penutupan karnival serta pelancaran Dashboard Bahasa Kadazan Dusun peringkat daerah Tuaran 2024.”

KOTA KINABALU : – Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata Bahasa Kadazan Dusun (BKD) tidak akan hilang dan setiasa berakar di dunia selagi perjuangan berterusan menjadi satu legasi hingga ke zaman berzaman.

Menurut Ahli Parlimen Tuaran itu,  perjalanan dalam memperjuangkan subjek Bahasa  BKD dalam sistem pendidikan kita hari ini merupakan satu perjalanan yang mencabar dan penuh dengan liku-liku.

Pada ketika idea ini mula dicadangkan, salah satu cabaran terbesar adalah kekurangan kesepakatan dalam kalangan etnik-etnik Momogun mengenai dialek mana yang sepatutnya digunakan sebagai asas dalam pengajaran bahasa BKD.

Setiap etnik mempunyai dialek tersendiri, dan ini menimbulkan perdebatan yang agak panjang.

“Satu usaha yang saya jalankan dahulu untuk menyelesaikan isu ini adalah melalui penganjuran satu simposium, di mana semua pihak berkepentingan termasuk wakil-wakil dari pelbagai etnik duduk bersama untuk membincangkan penyelarasan dialek .”

“Syukurlah, hasil daripada perbincangan tersebut, terbentuklah Bahasa Bundu Liwan sebagai dialek standard yang digunakan dalam pengajaran Bahasa Kadazan Dusun”, katanya dalam hantaran terbaru dimedia social,” tambah Madius.

Katanya, ada lagi beberapa cabaran lain, namun syukur akhirnya subjek BKD akhirnya telah dimasukkan dalam sistem pendidikan sebagai Bahasa Elektif.

Beliau menerangkan bahawa ini bermakna, Bahasa Kadazandusun akan diwarisi berterusan oleh generasi ke generasi akan datang dan tidak hilang ditelan zaman.

Maka bermula dari itu, pengambilan guru telah dibuka pada setiap tahun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran untuk menyediakan tenaga pengajar bagi mendidik subjek ini.

Namun, tiba-tiba pada tahun 2022 dan 2023, tidak ada pengambilan ditawarkan selama dua tahun.

“Saya sendiri merasa terkejut. Lantaran itu, saya terus bersuara di persidangan parlimen untuk meminta agar pengambilan guru ini dibuka semula.”

“Tidak cukup bersuara dalam Dewan Rakyat, saya juga menyuarakan perkara ini kepada Menteri dan Timbalan Menteri KPM secara peribadi,” katanya.

Madius seterusnya berkata,’ Syukurlah, tahun ini pengambilan telah dibuka semula. Cuma harapan saya agar kuota pengambilan akan ditingkatkan kerana sudah dua tahun tidak ada pengambilan pelajar untuk subjek ini di IPG Kent.”

“Kelmarin, saya juga berterima kasih kerana berpeluang menyempurnakan perasmian penutupan karnival serta pelancaran Dashboard Bahasa Kadazan Dusun peringkat daerah Tuaran 2024.”

Madius merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin; Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Awang Seman Ag Tahir; Guru-guru Besar, seluruh tenaga pengajar, AJK, sekolah-sekolah yang terlibat, dan ibu bapa yang hadir atas sumbangan mereka sehingga membawa kepada kejayaan program ini.

“Ini adalah bukti nyata bahawa bahasa BKD tidak akan hilang dan setiasa berakar di dunia selagi perjuangan berterusan menjadi satu legasi hingga ke zaman berzaman,” katanya.

Apasi boros, apasi tinaru.

Popular Articles