Friday, November 22, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Bola Sepak : Lelaki  Sabah menang, Wanita seri

Semangat…Che de Mission kontinjen SUKMA , Datuk Mansur Asun (bertopi di tengah) memberi kata-kata semangat kepada pemain bola sepak wanita.

Lapuran Vitalis G Bingkasan dari Kuching

Skuad bolasepak wanita Sabah bersama Mansur sebelum perlawanan petang tadi.

KUCHING: Pasukan bola sepak lelaki bermula baik apabila menang 2-1 ke atas Johor manakala pasukan wanita seri 1-1 dengan Pahang  perlawanan pertama peringkat kumpulan masing-masing pada SUKMA Sarawak XXI hari ini (14 Ogos).

Acara bolasepak bermula  12 Ogos di mana acara lelaki berlangsung di Sibu manakala wanita di Kuching.

Memulakan cabaran di Stadium Tun Zaidi menentang Johor yang masih segar dengan kemenangan 1-0  ke atas juara bertahan, Terengganu 12 Ogos lalu, skuad bolasepak lelaki Sabah pimpinan  ketua jurulatih, Jelius Ating mengejutkan lawan apabila mendahului 1-0 seawal minit kesembilan menerusi penyerang utamanya, Zenelter Justin.

Sabah mengekalkan kelebihan awal itu sehingga tamat separuh masa pertama dan terus selesa dengan kecemerlangan  Zenelter menjaringkan gol kedua untuk Sabah mendahului 2-0 pada minit ke-79.

Johor cuba bangkit tetapi hanya mampu mendapat satu gol pada minit ke-88 untuk Sabah keluar sebagai pemenang perlawanan Kumpulan C yang juga dianggap kumpulan maut itu.

Hanya tiga pasukan dalam saingan Kumpulan C di mana dua pasukan teratas akan mara ke pusingan suku akhir.

Jelius berkata, Johor cuba bangkit dengan lebih banyak serangan selepas ketinggalan 0-1  tetapi anak buahnya berjaya mengharunginya termasuk kecemerlangan penjaga golnya, Amir Jef Anjam menidakkan satu sepakan penalti lawan.

Kemenangan hari ini mencerahkan peluang Sabah ke suku akhir di mana mereka hanya perlu seri atau elak kalah lebih dari 1 gol pada perlawanan terakhir menentang Terengganu di venue sama, Jumaat ini.

Sambil itu, pasukan wanita perlu berkerja keras pada perlawanan terakhirnya apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Pahang dalam saingan Kumpulan A di Stadium Negeri, Kuching.

Skuad bimbingan Petronella Douny itu akan membuat perhitungan terakhir dengan pasukan tuan rumah, Sarawak di venue sama pada 18 Ogos untuk merebut tempat ke pusingan seterusnya yang diperuntukkan kepada dua pasukan teratas.

Kejohanan sukan dwi-tahunan terbesar negara itu diteruskan dengan beberapa acara lagi hari ini dengan tawaran 12 pingat emas menerusi sukan berbasikal (dua emas),  wushu (lapan emas) dan tenpin boling (dua emas).

Popular Articles