Pemenan pingat emas muaythai, Stacy.
Pemenang pingat emas muaythai, Eva (kiri) bersama rakan yang menang perak, Rahmad (tengah) dan pemenang gangsa, Insyirah.
Oleh Vitalis G Bingkasan
KUCHING: Sukan muaythai menjadi lubuk emas terkini Sabah pada SUKMA Sarawak XXI selepas menamatkan cabaran dengan tiga pingat emas hari ini.
Ia meletakkan skuad muaythai sebagai penyumbang pingat emas terbanyak Sabahsetakat ini dengan lima pingat emas di samping tiga perak dan dua gangsa.
Tiga pingat emas hari ini dimenangi Eva Anastasia Warren, Stacy Poong Dai Hee dan Hellmi Samsir.
Hari terakhir acara muaythai yang berlangsung di Dewan Paragon Bintulu itu menyaksikan Eva meraih emas dengan kemenangan 27-6 ke atas Nur Farhana Alian Nazri (Pulau Pinang) dalam acara kombat 45-48kg wanita untuk emas pertama Sabah hari ini.
Stacy pula menang emas dengan kemenangan 41-35 ke atas Nurul Najwa Abdullah (Perak) dalam acara sama bagi kategori 54-57kg wanita.
Hellmi kemudiannya melengkapkan kejayaan membanggakan skuad muaythai dengan emas ketiga hari ini dan kelima keseluruhan dengan kemenangan 26-15 ke atas peserta tuan rumah, Sarawak, Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid.
Dua lagi emas dimenangi pada Isnin menerusi gandingan Jezzevelle Myora Jerry dan Myra Roslan dalam acara seni duo mai muaythai wanita dan Yan Jia Chi dalam seni solo wai kru wanita.
Lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dari keseluruhan 18 pingat emas yang ditawarkan dari sukan muaythai meletakkan Sabah di kedudukan kedua terbaik di kalangan 15 pasukan yang bertarung pada SUKMA Sarawak XXI.
Sabah hanya dijarakkan kutipan pingat perak dengan tuan rumah, Sarawak selaku pasukan terbaik dengan lima emas, empat perak dan satu gangsa manakala Perak di kedudukan ketiga dengan empat emas, satu perak dan satu gangsa.