Tangau memeriksa kebakaran rumah di Kampung Lok Batik, Tuaran.

Oleh Hardy Joe
Foto Mohd Syukrie Johary
TUARAN (Isnin 7 OGOS): Dua keluarga kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka yang terletak berdekatan antara satu sama lain musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Batik di sini, Ahad.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, keluarga Jamadin Muamat dan Sheriel Laidin juga gagal menyelamatkan harta benda kerana api merebak begitu cepat ke seluruh bahagian dua rumah.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian untuk melawat mangsa.
“Saya difahamkan kejadian itu berlaku awal pagi sekitar jam 1.30 pagi menyebabkan keseluruhan rumah dan harta benda mereka musnah sama sekali.
“Saya turut merasakan cabaran dihadapi ketua keluarga Jamadin Muamat dan Sheriel Laidin ketika saya menemui mereka,” katanya.
Tangau memberi sumbangan untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa kebakaran.
Dalam lawatan sama, Tangau bersama Pusat Khidmat Parlimen Tuaran melawat rumah seorang lagi penduduk, Jaidi Muamat di lokasi berhampiran yang dalam keadaan daif dan tidak selamat didiami disebabkan struktur rumah yang usang.
“Setiap kali banjir kawasan rumah terbabit digenangi air menyebabkan struktur rumah semakin reput,” katanya.
Tangau juga menerima aduan berkaitan sistem perparitan di kawasan sama yang tersekat menyebabkan aliran air tidak dapat mengalir lancar.
Katanya, penduduk memaklumkan sistem perparitan di situ bersaiz kecil hingga menyebabkan banjir kilat.
Beliau memberi jaminan akan terus memantau keadaan itu dan mengajukan aduan penduduk kepada pihak berkaitan untuk tindakan.