Thursday, November 21, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Skuad pencak silat Sabah kembali dengan empat emas

Onsoi…pemenang pingat emas pertama pencak silat, Razfadhlur bersama Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin (tengah).

Oleh Vitalis G Bingkasan

KUCHING: Skuad pencak silat Sabah kembali dengan kejutan apabila menang empat pingat emas di samping tiga perak dan tiga gangsa pada SUKMA Sarawak XXI.

Pemenang emas kedua pencak silat, Razfirdaus.

Hari terakhir pertandingan pencak silat di Stadium Bandaraya Miri hari ini menyaksikan Muhammad Razfadhur Rahman Razaineh memulakan lagu Sabah Tanah Airku dikemundangkan dengan emas pertama yang dimenanginya pada final acara Tanding  Kelas B lelaki 50-55kg.

Razfadhur menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan, Mohamad Ridhuan Sulaiman 40-30.

Selepas itu giliran abangnya, Razfirdaus menghadiahkan emas kedua dengan kemenangan 41-35 ke atas pesilat Kedah, Muhammad Saiful Hazim Mazukhi dalam acara Tanding Kelas C lelaki 55-60kg .

Pemenang emas ketiga pencak silat, Awangku Tarmizal.

Dua pingat emas  telah mengotakan sasaran tetapi mereka tidak mensia-siakan peluang untuk menambah kilauan emas pada pada aksi final berikutnya dengan Awangku Tarmizal Ag Tamin menghadiahkan emas ketiga.

Mengharungi pertarungan sengit pesilat Kedah, Muhammad Adam Tajudin tetapi Tarmizal keluar sebagai pemenang dengan keputusan 26-25 dalam acara Tanding Kelas D lelaki 60-65kg.

Muhammad Hassan Mahmood kemudiannya menambah sinar dengan emas keempat, mengalahkan Megat Razman Abd Rahman @ Ab Rahman (Wilayah Persekutuan) 39-19 dalam acara Tanding Kelas I lelaki 85-90kg.

Tiga lagi pesilat wanita Sabah beraksi di final tetapi hanya menang pingat perak iaitu Nur Ilyana Natasyah Abdullah (Tanding kelas C 55-60kg), Riezlynn Edelya Edtasha Ahmad Puzi (Tanding Kelas A 45-50kg) dan Safia Umairah Hussin (Tanding bawah 45kg).

Ilyana tewas 23-31 ditangan Nur Nia Ramadhani Aleya Mohd Zaid (Terengganu) manakala Riezlynn kalah 29-31 kepada Nur Ayu Rohma Mohd Ihsan (Pahang) dan Safia kecundang 18-29 ditangan Farra Irdina Mohd Zairi (Selangor).

Sebelum pingat emas dan perak itu, Sabah telah menang gangsa menerusi Nurtrisyah Bella Mohd Syah (Seni Solo Kreatif wanita),  Afiq Daniel  Salman and Fazli Halim (Seni Silat Ganda)) dan Fadhli Hidayat Harun (Silat Individu lelaki).

“Ini adalah pencapaian yang tidak dijangka kerana sasaran kami hanya dua pingat emas. Pesilat kita telah membuat kejutan apabila tujuh layak ke final dan kita menang empat daripadanya. Tiga lagi pingat perak disamping ada tiga gangsa lagi.

“Ini adalah kemunculan semula kecemerlangan kita kerana SUKMA 2022 kita hanya menang lima gangsa walaupun sebelum itu pada SUKMA 2018, kita menang lima emas, tiga perak dan dua gangsa..tahniah kepada semua anggota skuad pencak silat,” kata Yang DiPertua PESAKA Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Iliyas Ibrahim.

Iliyas berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah kerana banyak membantu dalam persiapan mereka.

“Selain kerja keras skuad pencak silat, kejayaan ini juga kerana ada periapan baik dengan bantuan KBS Sabah dan MSN Sabah terutama memberi pendedahan kepada pesilat bertanding di luar negeri serta membawa pesilat dari Indonesia  untuk pertandingan pendedahan dengan pesilat Sabah di Sabah,” katanya.

Popular Articles