SANDAKAN : – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Sandakan Sabah (PSS) telah menganjurkan Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB).
Festival ini telah berlangsung dari 22 hingga 29 Ogos 2024 di Kompleks Sukan Sandakan dan Politeknik Sandakan Sabah.
Program ini telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Bertemakan “Teknologi Pertanian Berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan”, FAMB 2024 menjadi platform utama bagi para penyelidik, pelajar, agensi kerajaan, dan pihak swasta untuk berkumpul dan berkongsi pengetahuan serta idea inovatif dalam bidang teknologi pertanian.
Festival ini turut menampilkan pelbagai acara menarik seperti Pembentangan Kertas Penyelidikan, Pertandingan Inovasi Produk, Pertandingan Pitching, Pertandingan Jualan Produk Agropreneur, dan Program Komuniti Pintar (Smart Community Programme) yang berfokus pada pemulihan hutan bakau secara lestari.
FAMB 2024 menyaksikan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk pensyarah dan pelajar dari politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan swasta, institut penyelidikan, sekolah vokasional, serta agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.
Menurut Mohammad Yusof, festival sebegini ini mampu menuntun sektor agromakanan agar sentiasa berdaya saing dan inovatif dalam memperkembang serta menyumbang kepada komuniti dengan hasil penyelidikan dan inovasi yang hebat khususnya kepada sektor agromakanan.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Zamzam bin Mohd Walid dan Pengarah Politeknik Sandakan Sabah, Mohd Sani Bin Said.
Impak daripada program ini bukan sahaja dirasai oleh pelajar dan peserta tetapi juga kepada komuniti dan pihak industri dalam mengikuti dan mengetahui perkembangan terkini mengenai inovasi dan teknologi dalam bidang pertanian.