Wednesday, October 9, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Pengerusi SESB buat Laporan Polis Sambungan Haram di Lahad Datu

MADIUS…Setinggan didapati lakukan sambungan haram secara terang-terangan.

LAHAD DATU : – Laporan polis telah dibuat oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berhubung kegiatan sambungan haram dan aktiviti mencuri elektrik yang dilakukan penduduk setinggan Kampung Puyut di sini hari ini.

Laporan tersebut dibuat sendiri oleh Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Saya telah bersama pasukan SESB membuat tinjauan di perkampungan setinggan ini dan mendapati sambungan haram dilakukan secara terang-terangan.

“Ini adalah satu kegiatan yang sangat serius, dan oleh itu saya terus ke IPD Lahad Datu untuk membuat laporan,” katanya.

Madius berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, dianggarkan 1,000 rumah yang terdapat di Kampung Puyut mengakibatkan kerugian yang besar kepada SESB sehingga mencecah kira-kira RM1 juta.

“Justeru, laporan dibuat bertujuan untuk memohon pihak polis menyiasat siapakah individu-individu yang terlibat dalam sambungan haram.

“Saya juga meminta agar siasatan dibuat sama ada pemasangan sambungan haram ini dilakukan penduduk setinggan Kampung Puyut atau oleh sindiket atau kartel,” ujar Ahli Parlimen Tuaran itu lagi.

Tambahnya, laporan itu juga dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat sama ada sambungan haram itu melanggar mana-mana enakmen, akta atau undang-undang.

“Jika ya, apakah hukuman yang boleh disabitkan kepada individu-individu yang terlibat.

“Saya juga minta pihak polis menyiasat berapakah sebenarnya kerugian yang ditanggung SESB akibat kegiatan mencuri elektrik dan sambungan haram ini.

“Laporan ini juga dibuat untuk memastikan tiada yang menjadi mangsa renjatan elektrik kerana sambungan haram ini sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa orang awam termasuk penduduk Kampung Puyut sendiri,” ujar Madius.

Popular Articles