Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan tetamu lain menunjukkan buku Garis Panduan Membanteras Buruh Paksa dan Buruh Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sabah selepas melancarkannya pada Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu pada Khamis.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima ikrar membanteras buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang ditandatangani oleh para majikan pada Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu pada Khamis.
HAJIJI… Pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di Sabah.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Ordinan Buruh Sabah yang dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024, mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, RUU Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 telah dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai 2024.
“Saya amat berharap bacaan kali kedua pindaan RUU ini yang dijadualkan pada sesi persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024 akan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.
“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di negeri Sabah dengan panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri yang lebih harmoni dan kondusif”, katanya ketika merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.
Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan tersebut adalah berkaitan dengan isu human rights dan labour rights serta penghapusan diskriminasi yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak.
Menurutnya, ini selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini.
Beliau berkata, Jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.
Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini, yang memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
“Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah, yang sekali gus menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan, pemerdagangan orang dan buruh paksa”, katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan memperakui peranan penting Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi yang dilantik dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia.
Dalam hubungan itu katanya, kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi-agensi Persekutuan khususnya yang terlibat secara langsung di bawah payung MAPO perlu diperkasakan untuk memastikan aspek penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa dapat dilaksana dengan sebaik mungkin agar negara Malaysia tidak dituduh mengabaikan atau mengambil mudah isu tersebut.
Katanya, pekerja merupakan aset utama dan rakan strategik kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara kerana pekerja yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mempunyaijati diri merupakan asas yang paling utama kepada negara untuk kekal kompetatif dan meningkatkan produktiviti agar ekonomi negara sentiasa mampan serta berdaya saing di peringkat glokal.
Justeru Hajiji mahu semua majikan sentiasa memastikan amalan baik industridilaksana, meningkatkan piawaian perburuhan seperti yang termaktub dalam dasar dan perundangan negara, bagi memastikan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk melihat negara ini bebas daripada amalan pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa menjadi realiti dan dapat direalisasikan.
“Ini penting dalam membantu usaha kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bukan saja memerlukan pekerja yang berdaya saing tetapi harus mematuhi perundangan negara”, tegasnya.
Beliaujuga berharap kira-kira 178,000 majikan di negeri ini akan sama-sama mengambil bahagian menandatangani ikrar dan akujanji dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa. Majikan sebagai orang penting harus melihat isu ini dengan serius, menyokong dan menanam iltizam untuk menangani jenayahyang mampu menggugat keselamatan rakyat di negeri ini.