TUARAN : – Sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2024 di Tuaran sangat baik dengan penglibatan 28 kampung dan 3 taman di sekitar Tuaran yang turut serta menjayakan program ini.
Ahli parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata melalui kerjasama erat antara komuniti, pelbagai Institusi Pengajian Tinggi di Sabah, serta agensi-agensi kerajaan dan swasta, adalah berharap agar amalan gotong-royong ini akan terus diterapkan dalam kehidupan seharian, bukan hanya pada hari-hari tertentu.
“Ini akan mencerminkan rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan pelancaran program itu pada Sabtu.
Selepas perasmian di Dewan SMK Mengkabong, mereka berganding bahu dalam aktiviti memungut sampah di sekitar kawasan tersebut.
Dalam masa yang sama, aktiviti kitar semula minyak masak terpakai, botol plastik, dan kaca turut diadakan.
Menurut Madius, aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan, tetapi juga tentang bagaimana kita boleh memanfaatkan semula bahan-bahan terbuang dengan cara yang lebih lestari.
“Visi kita adalah untuk membina persekitaran yang lestari, di mana kemajuan ekonomi dan gaya hidup sihat dapat dikekalkan untuk masa hadapan.”
“Dengan usaha bersama seperti ini, saya yakin kita dapat mencapai matlamat tersebut dan mewujudkan masyarakat yang lebih peka terhadap kelestarian alam sekitar, ” katanya.