Thursday, October 17, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

KDM perjelas isu konsesi air

Datuk Peter Anthony…masalah air  berpunca antara lain dalam salah urus tadbir, kelemahan infrastruktur.

PENAMPANG: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menganggap tuduhan Ketua Menteri Sabah terhadap kerajaan sebelum ini mengenai isu menamatkan kontrak syarikat konsesi air sebagai tidak berasas sama sekali.

Presiden KDM Datuk Peter Anthony berkata, mereka perlu mendedahkan kebenaran berhubung isu itu kepada orang ramai.

“Tidak benar tuduhan Datuk Hajiji Noor bahawa Warisan adalah punca utama masalah air di negeri ini bertambah teruk selepas menamatkan konsesi syarikat yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah.

“Hajiji patut periksa terlebih dahulu faktanya. Jangan hanya pandai bercakap bohong,” katanya di majlis pelancaran jentera pilihan raya kawasan DUN Moyog dan Parlimen Penampang di Kg Kolopis yang dihadiri oleh timbalannya dan ketua-ketua cawangan KDM Penampang pada Sabtu.

Minggu lalu Hajiji Noor berkata, tindakan Warisan menamatkan konsesi sembilan syarikat kontraktor yang dilantik kerajaan terdahulu menyebabkan kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan.

Pada Disember 2018, Datuk Peter Anthony sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur ketika kerajaan Warisan mengumumkan penamatan konsesi syarikat yang mengurus 58 LRA di Sabah berkuatkuasa pada Januari 2019.

Syarikat yang menandatangani perjanjian pada 2013 itu mempunyai kontrak selama 20 tahun untuk mengurus LRA di negeri ini.

Dengan ditamatkan kontrak, kerajaan negeri menanggung akibat disaman dan terpaksa membayar jumlah keseluruhan pampasan sebanyak RM315.2 juta. Bayaran itu di antara RM22 juta hingga RM54 juta bagi setiap syarikat kontraktor.

Menurut Peter, tugasnya selepas dilantik sebagai menteri adalah meneliti prestasi Jabatan Air Negeri termasuk membuat pemeriksaan di loji-loji di negeri ini.

Beliau mendapati terlalu banyak ketirisan berlaku dalam jabatan hingga kerajaan menanggung kerugian yang banyak.

Beliau sedia maklum masalah air di Sabah sudah lama berlarutan dan berpunca antara lain dalam salah urus tadbir, kelemahan infrastruktur dan kekurangan pelaburan sejak beberapa dekad.

“Konsesi ditamatkan disebabkan masalah ini. Semua kerugian ditanggung oleh kerajaan. Bayangkan kerugian ditanggung setiap kali satu pam rosak. Ini adalah salah satu contoh masalah.

“Satu pam dibeli dengan harga RM1.2 juta dan untuk menyelenggara perlukan RM600,000. Pam rosak setiap dua minggu. Bayangkan jumlah pam atau peralaan lain yang perlu diperbaiki?

“Tidakkah itu menyebabkan pembaziran? Semua ini berlaku ketika birokrasi teruk pemerintahan Musa Aman,” katanya menafikan melantik syarikat baharu pilihan mereka.

Menurut Hajiji, selepas mengambil alih kerajaan pada September 2020, beliau dinasihatkan untuk membatalkan konsesi syarikat kontraktor baharu dilantik kerajaan Warisan sebelum itu, namun langkah itu dilihat menambahkan lagi beban kepada kerajaan.

“Kalau kita buat begitu, kerajaan disaman lagi dan kita kena bayar lagi pampasan kepada syarikat konsesi baharu itu. Jadi, saya kata teruskan saja hingga tamat konsesi,” beliau dipetik sebagai berkata di Pitas, pada Isnin.

Sementara itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, tindakan (menamatkan konsei air) itu dilakukan kerana kontrak syarikat konsesi air terbabit dilihat berat sebelah.

Katanya, sebanyak enam syarikat konsesi yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu, ditamatkan kontrak selepas Warisan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2018.

Kontrak syarikat terbabit dikatakan sebahagian besar daripada skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang berlaku ketika kerajaan BN pimpinan Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri pada masa itu.

Keputusan menamatkan kontrak syarikat konsesi itu bukan saja untuk meyelesaikan terma yang tidak saksama, malah disasar untuk meningkatkan pengurusan air di Sabah.

Menjawab kenyataan Hajiji, katanya selepas kontrak syarikat konsesi itu ditamatkan, operasi dan pengurusan loji rawatan air) diserahkan kepada JANS.

Bekas Ketua Menteri itu mendakwa penamatan kontrak syarikat terbabit membolehkan kerajaan negeri menjimatkan RM12 juta sebulan atau RM144 juta setahun.
Seramai 1,335 pekerja juga diserap oleh JANS.

Beliau mendakwa, walaupun kerajaan membayar pampasan RM315 juta, masih ada penjimatan sebanyak RM685 juta daripada kontrak selama 20 tahun itu.

Popular Articles