Saturday, July 27, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

1,600 sekolah Sabah dapat bantuan RM12j

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM12 juta tahun ini untuk membantu 1,600 sekolah kebangsaan dan sekolah menengah dibawah program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, sekolah-sekolah berkenaan akan menerima bantuan seperti Komputer, LCD Projektor, Printer, Smart TV, penghawa dingin dan pembesar suara mudah alih yang diberikan secara berperingkat.

BISBAH katanya, adalah antara inisiatif bantuan pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan prestasi pendidikan di negeri ini.

“Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama yang diberi penekanan
oleh Kerajaan Negeri”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2023 di Sabah International Convention Centre pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, sebanyak RM7.5 juta disumbang kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM dengan bayaran sebanyak RM200 seorang melalui Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI).

Seramai 38,000 pelajar dari kalangan keluarga B40 dan M40 disasarkan dalam program itu.

“Kerajaan memandang serius keperluan kewangan yang dihadapi oleh golongan B40 terutama bagi membiayai pendaftaran melanjutkan pelajaran anak-anak ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Oleh itu, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) diperkenalkan pada tahun lalu dan diteruskan lagi tahun ini.”

“Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) berjumlah RM1 juta kepada
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan dikreditkan kepada penerima yang layak melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)”, tambahnya.

Selain itu, Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM4 juta juga diberi untuk membantu membaiki kerosakan dan menyelenggara membabitkan kos RM50,000 dan ke bawah.

Beliau berkata, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) mensasarkan pelajar Sabah dari golongan e-kasih yang sedang belajar di IPT dan tidak berkemampuan untuk membeli komputer bagi tujuan pembelajaran juga diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan
sebanyak RM2 juta untuk sasaran 1,000 komputer riba.

Menurut Hajiji, komitmen lain kerajaan negeri termasuklah Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) turut dilancarkan untuk pelajar Sabah di dalam dan luar negara.

“Peruntukan sebanyak RM500,000 juga diperuntukkan untuk Persatuan Pelajar Sabah yang berdaftar di bawah SEMESTA untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti persatuan”, tambahnya.

Beliau berharap semua intensif bantuan pendidikan yang telah disediakan Kerajaan Negeri dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua penerima, sekaligus menyuntik semangat mereka untuk lebih tekun belajar.

Sementara itu Hajiji berkata, Human Capital Development Blue Print for Sabah (2021-2035) disediakan bagi memastikan sukatan pelajaran, ilmu kemahiran dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa kekal relevan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program latihan kemahiran termasuk TVET yang relevan dengan keperluan industri semasa dan menambah baik kemudahan dan alat bantuan latihan di institut-institut latihan di bawah agensi-agensi kerajaan di negeri ini.

“Mereka perlu dilahirkan dengan pemikiran yang berdaya saing serta sentiasa berlumba-luma untuk mengejar kecemerlangan”, tegasnya.

Popular Articles