Tuesday, October 15, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Sabah sedia jadi hub kemajuan teknologi

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) diantara Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Professor Datuk Dr. Kassim Md Mansur dan Ketua Pegawai Eksekutif, Technology Innovation Park Malaysia (TIPM/MRANTI), Datuk Wira Dr. Haji Rais Hussin Haji Mohamed Ariff pada majlis perasmian “Supercharger Sabah 2024” di Pusat Islam, UMS, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU: Sabah sudah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi dengan inovasi  digalakkan dan dipupuk secara aktif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, integrasi teknologi dan inovasi amat penting dalam pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, Sabah komited untuk membangunkan ekonomi berorientasikan masa depan melalui inovasi.

Dalam usaha untuk memacu negeri ini ke hadapan, kerajaan negeri telah merangka satu visi yang jelas untuk memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi yang dinamik dan berdaya saing di rantau ini.

Salah satu contoh usaha ini adalah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus  kepada tiga teras  utama  iaitu  Sektor  Pertanian,  Perindustrian,  Pelancongan.

Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau”, katanya ketika merasmikan “SUPERCHARGER SABAH 2024” di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Selasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat reruai selepas merasmikan “Supercharger Sabah 2024” di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada Selasa.

Beliau   mengambil  contoh  dalam  sektor  pertanian,   Kerajaan   Persekutuan  telah menyalurkan  lebih  RM33 juta  kepada  Sabah  pada  bulan  Julai  lalu,  dalam  usaha meningkatkan   keterjaminan   makanan. 

Dana   itu   penting   untuk   mengoptimalkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan.

“Inisiatif  seperti  siri  Program  Supercharger    yang  memberi  fokus  utama  dalam keterjaminan makanan, amat penting dalam usaha kita menghentikan kebergantungan import bekalan makanan.

“Justeru, seiring dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat untuk meningkatkan   tahap   sara   diri   makanan   dengan   menggalakkan   inovasi   dalam pengeluaran tanaman, penternakan dan perikanan”, katanya.

Menurutnya, Sabah wajar perkasakan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti penggunaan smart farming dan automasi / mekanisasi untuk meningkatkan hasil dan kualiti  produk,  bukan  sahaja  untuk  meningkatkan  produktiviti,  tetapi  juga  demi memastikan amalan pertanian yang mampan dan mesra alam.

Hajiji berkata, UMS telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu industri dan masyarakat  di  Sabah  melalui  pengkomersialan  inovasi  mereka  dan  pemindahan pengetahuan kepada masyarakat.

“Tidak ketinggalan penyelidikan terkemuka seperti ‘hybrid grouper’, ‘monkey malaria’, dan banyak lagi.

Pemilihan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) UMS sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia adalah kebanggaan rakyat Sabah dan bukti penyelidikan dan inovasi yang cemerlang oleh UMS”, tambahnya.

Katanya, UMS telah mewujudkan ekosistem yang komprehensif untuk memperkukuh penyelidikan dan inovasi melalui penubuhan 4 kluster penyelidikan iaitu Kejuruteraan dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, Alam Sekitar dan Sains Gunaan serta Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Menurutnya, penubuhan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (ICMC) pada tahun   2021,   telah   menjadi   pemangkin   dalam   memudahkan   pensyarah   UMS mengkomersialkan inovasi mereka.

Beliau berkata, Supercharger Series 2024 merupakan inisiatif strategik yang dirangka khusus untuk memacu kerjasama, penglibatan, dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I).

Katanya, Program Supercharger membolehkan syarikat terbitan atau spin-off universiti, penyelidik, entiti sektor swasta, dan agensi dapat bekerjasama, belajar, dan menangani cabaran bersama-sama.

Hajiji berkata, dengan adanya program Supercharger yang dilaksanakan di negeri ini, rakyat Sabah, berpeluang untuk bersama-sama membina sebuah ekosistem inovasi yang dinamik dan berdaya saing, sekali gus meletakkan negeri ini di persada dunia sebagai hab inovasi yang unggul.











Popular Articles