Murkam Haji Hussien berharap peruntukan yang lebih besar juga diberikan kepada Jabatan Pendikan Sabah.
KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik Belanjawan 2025 yang menyaksikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan terbesar sebanyak RM64.1 bilion.
Presiden KGKS Murkam Haji Hussien berkata peruntukan terbesar dalam sejarah KPM itu membuktikan kesungguhan kerajaan Madani memastikan tiada pelajar yang terpinggir dalam mendapatkan bantuan dan kemudahan di sekolah.
Sehubungan itu, katanya KGKS berharap peruntukan yang lebih besar juga diberikan kepada Jabatan Pendikan Sabah dalam memperkasakan bidang pendidikan di negeri ini.
Murkam turut berharap peruntukan itu dapat disalurkan untuk meningkatkan taraf pendidikan sukan di Sabah.
“Saya melihatkan pembangunan sukan ini wajar dimulakan dan diasa bakat semasa budak-budak masih lagi di bangku persekolahan, sekali gus membantu melahirkan lebih ramai atlit berkaliber pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Bajet 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Murkam juga mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk menambahbaik premis kantin dan surau sekolah di seluruh negara.
Katanya kemudahan inisiatif tersebut juga termasuk meneruskan komitmen membaiki sekolah-sekolah daif di Sabah.
Selain membina sekolah baharu, KGKS turut menaruh harapan agar kemudahan rumah guru sekolah khususnya di kawasan luar bandar diberi perhatian yang sewajarnya, katanya.