SANDAKAN – Kemajuan bagi penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilihat sangat ketinggalan jauh berbanding dengan negeri Sarawak.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata, adalah penting bagi maklumat berkenaan projek itu dapat dimaklumkan dari masa ke masa.
Menerusi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 Kementerian Kerja Raya (Peringkat Jawatankuasa) di Dewan Rakyat, Vivian juga bertanya, apakah status terkini bagi Pakej 28, 29, dan 30 dari Batu 32 Sandakan ke Sungai Baoto dan bila tarikh jangkaan siap bagi pakej-pakej ini.
Beliau juga bertanya kepada menteri berkaitan mengenai tarikh jangkaan siap untuk Fasa 1A dan Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah?
“Walaupun kita ingin melihat projek ini disiapkan secepat mungkin, tetapi dalam masa yang sama, adalah sama pentingnya untuk memastikan bahawa kualiti projek ini siap mengikut skop kerja dan tidak akan dikompromikan.” Katanya.
Dalam pada itu, Vivian juga menyatakan kekecewaan terhadap beberapa kerja pembaikan cerun-cerun yang masih belum dilaksanakan di Sandakan.
Ini termasuk Jalan Lalang di mana satu tanah runtuh kecil telah berlaku dan bahu jalan telah ditutup.
Namun, selepas hampir dua tahun, kerja pembaikan masih belum dijalankan dan kini separuh daripada permukaan jalan telah runtuh.
Jelasnya, kegagalan cerun kedua adalah di Jalan Bukit berhampiran Apartmen Taman Sentosa.
Pada mulanya ia hanya kegagalan cerun kecil tetapi selepas lebih setahun keadaan semakin serius.
“Namun kerja pembaikan juga masih belum dimulakan.” Katanya.
“Setiap kali saya menyemak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai status tersebut, jawapan yang diberikan sentiasa mengatakan bahawa laporan kajian kejuruteraan telah disiapkan dan dihantar, dan sedang menunggu kelulusan dari ibu pejabat,” jelasnya.
Vivian berkata, kegagalan cerun seperti ini bukan sekadar membawa kesulitan kepada pengguna jalan tetapi ia melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan yang menggunakan jalan tersebut setiap hari.
“Tempoh masa yang diambil untuk membaiki dan memperbetulkan kerja pembaikan kecemasan seperti ini terlalu lama dan tidak dapat diterima.” Katanya.
“Sering kali, apabila bajet diluluskan satu atau dua tahun kemudian, skop pembaikan dan kos yang diperlukan mungkin telah meningkat jauh melebihi situasi asal, dan kerja-kerja pembaikan akan terus tertangguh.” Tambahnya.
Justeru, beliau menggesa kementerian untuk menilai semula bajet tersebut serta proses bagi kerja pembaikan kecemasan seperti ini.
Sementara itu, beliau juga merujuk kepada banci lalu lintas kebangsaan, naiktaraf dan memulihkan jalan serta pembinaan jalan-jalan.
Jelasnya, rangkaian jalan raya di Sandakan memang jauh ketinggalan berbanding dengan kadar peningkatan jumlah kenderaan di Sandakan dalam 10 tahun kebelakangan ini.
Kesesakan lalu lintas di pusat bandar dan persimpangan jalan utama semakin teruk, sehingga pihak Polis mengambil tindakan perlu dengan terpaksa menutup beberapa persimpangan di pusat bandar setiap kali musim perayaan untuk mengelakkan kesesakan yang lebih teruk.
“Selain itu, selepas bertahun-tahun, kami juga masih bergantung kepada satu-satunya jalan utama iaitu Lebuhraya Persekutuan 22, untuk menghubungkan Sandakan dengan daerah-daerah lain di negeri ini.” Katanya.
“Saya juga telah berkali-kali membangkitkan rancangan untuk membina “fly over” bagi bulatan helang dan buaya Batu 7,Sandakan.” Jelasnya.
Kini cadangan telah telah dihantar ke ibu pejabat JKR Sabah.
“Saya menyeru kepada kerajaan persekutuan untuk bekerja sama dengan kerajaan negeri untuk menyelaraskan kerja membuat keputusan dan salurkan peruntukkan bagi projek ini serta merta.” ujarnya.
“Jangan lagi hanya sekadar pertimbangkan, tetapi kami mohon untuk mendapatkan kelulusan bagi menaiktaraf kedua-dua bulatan tersebut kepada “flyover” ataupun sekurang-kurangnya lampu isyarat dapat dipasang di jalan itu untuk kemudahan pengguna jalan yang sibuk itu khasnya pada waktu puncak,” tambahnya.