Wednesday, December 11, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Hajiji: RM50 juta bantu orang kampung bayar bil elektrik

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar dengan sebahagian penerima sempena Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Rabu.

Kerajaan negeri juga akan membantu sebanyak RM300 kepada ibu bapa miskin tegar di negeri ini, selama setahun.

KOTA KINABALU:Mulai tahun depan, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM50 juta untuk membantu penduduk kampung yang menghadapi masalah membayar bil elektrik mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan perkara itu sempena Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Mernara Kinabalu, di sini pada Rabu.

“ Inisiatif ini diambil bagi membantu meringankan beban penduduk kampung yang layak dan menghadapi kesusahan dalam membayar bil elektrik mereka.

“Selain itu, mulai tahun depan, kerajaan negeri juga akan membantu sebanyak RM300 kepada ibu bapa miskin tegar di negeri ini, selama setahun,” katanya.

Terdahulu beliau berkata kerajaan negeri terus komited menyediakan pelbagai bantuan pendidikan untuk memastikan rakyat negeri ini bukan saja dapat melanjutkan pelajaran dengan lebih sempurna malah mampu bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi.

Ini kerana katanya, pendidikan adalah asas yang sangat penting kepada generasi muda sebagai wadah utama menjadikan mereka pewaris negara yang berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan kepada institusi pendidikan,   pelajar  termasuk   memperkenalkan   beberapa   bantuan   baharu   bagi menyantuni anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Antaranya,   Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan berjumlah RM127 juta, yang menyasarkan tajaan seramai 3,850 pelajar baharu yang menuntut di universiti tempatan dan luar negara dan membiayai pelajar tajaan yang sedia ada, pada tahun depan.

“Jumlah ini telah meningkat berbanding RM113 juta yang diperuntukan kerajaan pada tahun ini.  Selain itu, untuk tahun 2025, Program Biasiswa, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah  memperuntukkan sejumlah RM57 juta untuk 4,500 orang pelajar.,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya mengambil inisiatif dengan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dan sumbangan seperti tajaan biasiswa,
dermasiswa, pinjaman pengajian, dan bantuan zakat bagi meringankan beban yang ditanggung ibu bapa.

“ Pada hari ini, tawaran tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah turut diberikan kepada seramai  100  pelajar  bagi  mengikuti  pengajian  di  institusi  pengajian  tinggi  (IPT)  di Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu.

“ Kerajaan  turut  menyalurkan  bantuan  melalui  Tabung  Pendidikan  Negeri  Sabah (TPNS), dengan seramai 100 pelajar turut serta menerima bantuan ini. Setakat ini, saya dimaklumkan TPNS telah menyalurkan sejumlah  RM8.5 juta dan memberi manfaat kepada seramai 8,000 pelajar.

“ Kita juga akan menyampaikan bantuan BISBAH atau Bantuan Ihsan Sekolah Sabah bagi tahun 2024 dengan  peruntukan sebanyak  RM10 juta yang  melibatkan semua sekolah di Sabah.

Selain itu, turut disampaikan sebahagian Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU),” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM79.5 juta untuk bantuan-bantuan pendidikan secara one off termasuk bantuan agama dan bahasa sastera, untuk tahun 2025.

“ Ini membabitkan bantuan pendidikan yang baharu dan sedia ada yang diteruskan lagi pada tahun depan, antaranya BUDI (Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off); BAKTI  (Bantuan  Khas  Tunai  Peperiksaan);  BISTARI  (Bantuan  Insan  Tabungan Pendidikan Negeri) dan AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah).

“Selain itu,  BAGUS (Bantuan Aktiviti PIBG); BALKIS (Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah) dan SEMESTA (Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia). Satu lagi inisiatif baharu diperkenalkan iaitu Sumbangan Kegiatan Sekolah (SUKSES) dengan kadar RM3,000 kepada 1,500 buah sekolah,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Majlis Ugama Islam Sabah menerusi dana zakat turut menggerakkan pelbagai inisiatif pendidikan ke arah memperkasa dan meningkatkan kualiti pendidikan khususnya di negeri ini.

“ MUIS telah membelanjakan sejumlah RM32.5 juta pada tahun 2023 bagi menyantuni golongan asnaf dalam kalangan anak-anak sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi Inisiatif Pendidikan MUIS.

“Setakat bulan November pada tahun ini, terdapat peningkatan berjumlah RM4.9 juta daripada tahun sebelumnya dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM37.4 juta. Oleh itu, menerusi peruntukan Bajet MUIS 2025 sejumlah RM47.3 juta khusus untuk bidang pendidikan, diperuntukkan pada tahun depan,” katanya.










Popular Articles