Wednesday, December 11, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

RM13.66 juta untuk pengurusan, pemeliharaan warisan budaya Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta pada tahun depan bagi mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan dan pemeliharaan warisan budaya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukkan itu bagi memastikan warisan budaya dan kesenian negeri ini terus kekal dan terpelihara, seterusnya memastikan khazanah budaya dapat dinikmati generasi masa ini dan akan datang.
“Usaha ini merupakan pelaburan yang penting demi masa depan dan akan membawa perubahan besar kepada pelestarian budaya kita, sekaligus melihat Sabah terus kaya dengan budaya dan tradisinya”, katanya pada Majlis Makan Malam Amal Sekolah Adat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/ Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G.Kitingan.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada Sekolah Adat dan memastikan keperluan pendidikan, infrastruktur, dan program-program sekolah ini sentiasa diutamakan.

Beliau yakin, melalui pengenalan 19 mata pelajaran berkaitan adat, bahasa, dan senitradisional, Sekolah Adat menyediakan platform untuk generasi muda mendalami akar budaya mereka.

“Ini bukan sekadar proses pendidikan, tetapi satu usaha menyemai nilai dan jati diri yang akan menentukan kesinambungan budaya kita untuk generasi akan datang.

“Satu lagi inisiatif penting yang diketengahkan dalam Sekolah Adat ialah Makmal Hidup Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, merupakan hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Pengajian Orang Asal Borneo.

Kewujudan makmal ini amat baik kerana antara tujuannya ialah memelihara Adat dan Bahasa, Pemberdayaan Komuniti dan Pengiktirafan Global.

“Kerajaan negeri menyambut baik usaha itu sebagai salah satu pendekatan strategik untuk memperkasakan warisan budaya dan bahasa kita.

Sebagai tambahan, kandungan Makmal Hidup akan diselitkan dalam penerbitan buku teks untuk memberikan dimensi tambahan kepada pembelajaran, menghubungkan adat, bahasa, dan seni dengan pendekatan pendidikan moden”, katanya.

Justeru katanya, usaha penerbitan buku teks untuk 19 mata pelajaran ini adalah langkah yang sangat signifikan.

Buku-buku itu tidak hanya menjadi panduan kepada pelajar, tetapi juga dokumen rujukan penting untuk penyelidikan dan kajian budaya di peringkat nasional serta antarabangsa.

Beliau juga menyeru kepada sektor swasta, badan bukan kerajaan, dan rakyat Sabah untuk turut serta menyokong usaha Sekolah Adat mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Good Safeguarding Practices.

Hajiji berkata, langkah itu bukan sahaja akan mengangkat nama Sabah, juga membuktikan negeri ini adalah contoh terbaik dalam pelestarian budaya di peringkat global.

“Kejayaan Sekolah Adat adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan juga memastikan penerbitan buku teks ini berjalan lancar dan memberi impak jangka panjang terhadap kelestarian budaya kita”, katanya.

Popular Articles