Wednesday, December 11, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

RM70 juta untuk badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh & persendirian tahun 2025

Hajiji…Kasih di kalangan masyarakat pelbagai suku, bangsa, dan agama ini amat penting untuk kesejahteraan, kemakmuran, dan keamanan negeri Sabah.

KOTA KINABALU : – Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM70 juta iaitu kenaikan sebanyak RM13.25 juta untuk pemberian bantuan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan persendirian di negeri ini pada tahun 2025, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, peruntukan pada tahun hadapan meningkat berbanding pada tahun 2024 iaitu sebanyak RM56.75 juta.

Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan badan-badan keagamaan yang terlibat dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa.

“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini”, katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu (KKCC) Tahun 2024 di Padang Merdeka pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/ Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G.Kitingan.


Hajiji menyeru semua masyarakat terus mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesefahaman yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di Sabah dan terus menjadi contoh di negara ini.

Beliaujuga menyeru rakyat Sabah terus mengamalkan cinta kasih kepada sesama umat manusia sampai selama-lamanya.

Sesungguhnya, keharmonian di kalangan masyarakat adalah nadi kepada kejayaan aspirasi Kerajaan Sabah Maju Jaya.

“Saya yakin sambutan Perayaan Krismas yang diadakan selama 4 hari ini adalah pemangkin kepada kesefahaman dan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat. Saya berharap semua aktiviti yang dijalankan di sepanjang sambutan ini diterima dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua golongan masyarakat”, katanya.

Katanya, sambutan KKCC kali yang Ke-19, tahun ini yang bertemakan “Kasih Melalui Tindakan” (Love in Action) amat tepat khususnya di negeri Sabah yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Tema itu amat disokong kerana ia mendorong kita untuk saling mengasihi sesama, bukan hanya setakat bercakap mengenai kasih tetapi menterjemahkan dan menunjukkan kasih itu melalui tindakan. Kasih di kalangan masyarakat pelbagai suku, bangsa, dan agama ini amat penting untuk kesejahteraan, kemakmuran, dan keamanan negeri Sabah yang kita cintai ini”, tegasnya.

Hajiji memuji usaha kreatif dan kerjasama pelbagai lapisan masyarakatdi negeri ini yang telah terlibat dalam menghasilkan kalung manik buatan tangan sempena majlis sambutan itu. Kerjasama ini menunjukkan eratnya perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan bekerja keras agar negeri ini terus maju jaya.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua masyarakat Kristian dan selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat negeri ini”, katanya.

Popular Articles