Dua Ketua Menteri Sabah dari parti sifar kerusi DUN?
Oleh Bekas
Wartawan Berita Harian
POLITIK Sabah sangat unik, parti kalah dalam pilihan raya boleh jadi pemerintah dan Ketua Menteri pula boleh dilantik dari parti sifar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sama ada tidak bertanding, kalah teruk atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat ke parti lain.
Segalanya bermula tiga dekad lalu apabila Barisan Nasional (BN) yang memenangi hanya 23 kerusi berbanding 25 milik Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri hanya selepas dua minggu PBS menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
Ini berikutan sebahagian besar wakil rakyatnya melompat menyertai BN didahului tiga pemimpinnya iaitu Datuk Lajim Ukin (Klias), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Zaini Mat Isa (ADUN dilantik).
Drama lompat parti berterusan apabila pemimpin kanan PBS turut meninggalkan parti itu termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Bernard Dompok dan Setiausaha Agung, Tan Sri Joseph Kurup yang masing-masing menubuhkan Parti Demokratik Sabah (PDS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain adik Pairin sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyertai Angkatan Keadilan Rakyat (Akar).
Selepas ‘drama’ melompat itu, PBS akhirnya hanya mempunyai tiga wakil rakyat, iaitu Datuk Joseph Pairin Kitingan (sekarang Tan Sri), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Datu Amirkahar Datu Mustapha sekali gus memaksa Pairin melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 17 Mac 1994.
Ini membolehkan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Sakaran Dandai dilantik sebagai Ketua Menteri mengikut sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri ketika itu dengan setiap pemimpin parti utama komponen BN, iaitu UMNO, Parti Maju Sabah (SAPP) dan PDS masing-masing dilantik menjadi Ketua Menteri untuk tempoh dua tahun dan setahun.
Pada 28 Mei 1998, Dompok yang juga Presiden PDS,dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Datuk Yong Teck Lee.
Ini menjadikan Dompok, Ketua Menteri pertama Sabah daripada parti tidak bertanding pilihan raya, ini kerana PDS atau sekarang Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), parti serpihan PBS hanya ditubuhkan selepas pilihan raya negeri pada 1994.
Dalam pilihan raya negeri pada 1999 yang berlangsung 12 dan 13 Mac 1999, Dompok menjadi Ketua Menteri kedua selepas Tan Sri Harris Salleh yang tewas dalam pilihan raya apabila gagal mempertahankan kerusi DUN Moyog, kecundang di tangan calon PBS, Datuk Clarence Bongkos Malakun. Kekalahan Dompok yang juga Pengerusi BN Sabah ketika itu menyebabkan giliran Ketua Menteri kembali kepada UMNO berikutan kejayaan BN memenangi pilihan raya dengan parti itu memenangi kerusi terbanyak.
Sejarah 1998 berulang pada 2023 apabila pada 5 Februari 2023, bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekali gus dilantik sebagai Presiden parti menerusi Mesyuarat Agung Khas.
Walaupun meninggalkan Bersatu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai Ketua Menteri Sabah, menjadikan Gagasan Rakyat parti kedua selepas PDS memerintah tanpa perlu bertanding dan menang dalam pilihan raya.
Walaupun kepimpinan parti asal yang diambil alih Hajiji bertanding dalam pilihan raya lalu, tetapi ia menggunakan logo dan singkatan nama parti yang berbeza, iaitu PGRS serta semua calonnya hilang deposit.
Gagasan Rakyat dan sekutunya yang tidak memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 2020 termasuk USNO, SAPP, Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) sepatutnya sedar diri kuasa yang ada adalah ihsan Bersatu, PBS, STAR, PKR, DAP serta ADUN Warisan dan BN-UMNO yang menyertai parti itu.
Kepimpinan parti itu bernasib baik kerana ketika itu, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti di Sabah, belum diluluskan DUN Sabah, serta diwartakan bagi membolehkan ADUN Perikatan Nasional (PN), Warisan, UMNO dan Bebas melompat ke dalam parti ‘nyamuk’ yang dijenamakan semula untuk membolehkannya berkuasa.
RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 25 Mei 2023, selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN yang hadir.
Hakikatnya, dalam PRN16, Warisan memenangi kerusi terbanyak iaitu 29 kerusi termasuk enam kerusi ditandingi DAP menggunakan logo Warisan.
Ini diikuti PN dengan 17 kerusi, masing-masing 11 kerusi milik Bersatu dan enam dimenangi STAR. BN-UMNO pula memenang 14 kerusi dan PBS memiliki tujuh kerusi.
Bebas seperti diduga ‘menyerahkan’ tiga kerusi yang dimenangi kepada GRS. Tiga lagi kerusi masing-masing dalam genggaman PH iaitu dua ‘diungguli’ PKR dan satu milik UPKO.
Penggal pentadbiran kerajaan negeri akan berakhir pada 12 November tahun ini, walaupun parti pemerintah sekarang membentuk kerajaan negeri selepas memenangi Pilihanraya Negeri (PRN) Ke-16 pada 26 September 2020, ini kerana tempoh sepenggal atau lima tahun diukur mengikut Persidangan atau Mesyuarat DUN yang pertama selepas PRN Ke-16.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 berlangsung mulai 12 November 2020.
Bagaimanapun, Ketua Menteri boleh memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN Sabah pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu tempohnya berakhir.
Editor: Ulasan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian talantang.com