Tindakan pengusiran tanpa perancangan rapi hanya menambah penderitaan rakyat.
KOTA KINABALU : – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyuarakan kekecewaan terhadap isu pengusiran penduduk setinggan yang telah lama mendiami kawasan tertentu tanpa penyediaan alternatif tempat tinggal yang sewajarnya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengimbangi pembangunan dengan kebajikan rakyat.

“Ini sangat mengecewakan. Saya melihat perkara ini sangat menyusahkan rakyat. Ada penduduk Sabah yang telah tinggal di kawasan tersebut berpuluh-puluh tahun. Mereka mungkin bukan pemilik tanah, tetapi mereka adalah rakyat Malaysia. Mereka mempunyai keluarga, anak-anak yang bersekolah. Jadi, bagaimana kita boleh membiarkan mereka tanpa penyelesaian?” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan mesra di Gaya Street di sini pagi tadi.

Shafie turut menyatakan bahawa tindakan pengusiran tanpa perancangan rapi hanya menambah penderitaan rakyat. Beliau mengimbas pengalaman semasa menjadi Ketua Menteri apabila beliau pernah menghalang pengambilan tanah oleh agensi kerajaan di Kampung Gana yang melibatkan ribuan penduduk.
“Saya telah memberitahu SAFODA agar tidak mengambil tanah itu. Sebagai kerajaan, kita mempunyai tanah lain untuk pampasan. Lebih baik kita memindahkan 50 orang berbanding ribuan penduduk yang sudah lama tinggal di situ,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan perlu merancang pembangunan secara menyeluruh dan bertanggungjawab. Beliau memberi contoh di Kampung Air Semporna, di mana beliau telah mengarahkan supaya perumahan alternatif disediakan sebelum pengusiran dilakukan.

“Takkan kita nak biarkan rakyat kita menjadi gelandangan tanpa menyediakan kemudahan alternatif? Kalau mereka tidak mampu menyewa, kerajaan perlu menyediakan bantuan kewangan atau pinjaman bagi meringankan beban mereka,” jelas Shafie.
Shafie juga menyeru kerajaan negeri agar lebih berperikemanusiaan dalam perancangan pembangunan. “Pembangunan itu penting, tetapi kebajikan rakyat juga perlu diutamakan. Jangan sampai rakyat menjadi mangsa demi mengejar keuntungan atau melaksanakan projek,” tegasnya.
Beliau menggesa pihak berkuasa untuk mengambil pendekatan yang lebih seimbang, bagi memastikan hak tempat tinggal rakyat tidak terabai demi kepentingan pembangunan.