Sekumpulan orang asal dalam satu majlis Sekolah Adat.

PENAMPANG (Isnin 14 Ogos): Satu mekanisme perlu diadakan untuk memperkasakan etnik yang ada di Borneo ini supaya identiti mereka tidak hilang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jefrrey Kitingan kepada hadirin Hari Orang Asal Sedunia HOAS se-Borneo pada minggu lalu.
Presiden Persatuan Pengamal Adat Tradisional Sabah (Sunduan Nabalu) Shalmon Sanangan bersetuju dengan kenyataan itu kerana wujud bukti kaum-kaum orang asal di Sabah berhadapan dengan risiko kepupusan identiti.
“Identiti yang dimaksudkan di sini adalah bahasa ibunda, pengetahuan tentang adat istiadat, musik tradisional, tarian tradisional, susur galur keturunan dan banyak lagi,” Shalmon.
Menurutnya, fenomena kepupusan ini sedang berlaku dan terus berlaku sehingga akan sampai pada satu tahap nanti etnik tersebut akan pupus apabila tidak ada lagi penutur atau pengamal adat kaum mereka.
Beliau memberi contoh dalam kes orang asal di Sabah dan Sarawak di mana identiti orang asal tidak diambil kira dalam dasar dan polisi pendidikan negara. Mereka masih tergolong dalam kumpulan ‘lain-lain’ apabila diminta mengisi butiran diri dalam borang-borang rasmi kerajaan.
Shalmon berkata, pada tahun 1957 ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, tiga kaum terbesar di sana telah dipilih ke dalam sistem pendidikan vernakular iaitu Melayu, Cina dan India.
Namun, dalam Pembentukan Malaysia pada tahun 1963, apabila Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sama-sama membentuk satu gagasan, kepentingan dan peranan kaum di dua negeri di Borneo ini tidak diambil kira.
Penduduk asal Sabah dan Sarawak masih terus dipinggir hampir semua aspek dalam kehidupan mereka. Dengan era digital dan teknologi tinggi sekarang, mereka senang dihanyutkan arus moden yang sedikit demi sedikit membuatkan mereka lupa identiti.
“Kita sebagai kaum majoriti bagi kedua-dua negeri ini sepatutnya diberi keistimewaan kerana kedudukan kita sebagai anak negeri. Kita sepatutnya dikira inklusif dalam penggubalan dasar serta polisi pendidikan negara.
“Malangnya ini tidak berlaku. Sebaliknya kita semua telah diserap dan dipaksa menerima untuk mempelajari tiga aliran ini sehinggalah sekarang,” katanya ketika membentangkan topik ‘Relevansi Pendidikan Adat Budaya Dalam Usaha Penentuan Diri Masyarakat Borneo’.
Beliau menyampaikan ucapan itu sempena Perayaan Hari Orang Asal Sedunia (HOAS) Se-Borneo di Dewan Hongkod Koisaan di KDCA Penampang pada awal minggu lalu. Sambutan ini dihadiri kira-kira 200 orang dari Sarawak, Brunei, Kalimantan dan Sabah.
Menurut Shalmon, kini selepas 60 tahun berlalu, identiti orang asal itu sendiri semakin pupus dan hanya tinggal pada mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. Mereka yang lahir selepas negara Malaysia dibentuk sudah diindoktrinasikan untuk menerima kehidupan yang berpaksikan kepada prinsip ‘kebangsaan’. Suku kaum Borneo sudah dineutralkan identiti sebenar mereka.
Melihat kepada perkembangan ini di mana setiap tahun berlaku hakisan identiti masyarakat orang asal Sabah, di sinilah peranan dan relevansi Pendidikan Adat Budaya melalui Sekolah Adat muncul dan perlu diperkasa, katanya.
Shalmon adalah pengasas Sekolah Adat Anak Negeri di Sabah di mana sejak lima tahun yang lalu bersama persatuannya Sunduan Nabalu, beliau mengorak langkah berani dengan ‘melahirkan idea’ untuk membina sekolah adat pertama di Sabah.
Dan hasilnya, dalam tempoh dua tahun sudah ada lima sekolah adat dibina di Sabah iaitu di Telipok, Kiulu, Tuaran, Nabawan dan Tongod. Tujuh lagi sekolah sedang dalam pembinaan.
Menurut Shalmon, setiap etnik itu harus dipelihara dan dikembangkan. Setiap etnik itu harus berjuang untuk membina Sekolah Adat Budaya mereka.
“Sekolah Adat Anak Negeri Sabah telah bergerak lima tahun tanpa bantuan daripada pemerintah. Tiada peruntukan atau pengiktirafan diberi sedangkan ini adalah perkara asas dalam pembinaan negara bangsa.
“Maksudnya, kerajaan sepatutnya berada di sana membantu apa yang mereka boleh tolong terutama kepada penduduk asalnya, kerana itu adalah tanggungjawab mereka sebagai kerajaan,” katanya menambah bahawa walaupun menerima layanan seperti itu, mereka akan terus berhubungan baik dengan kerajaan.
Selama lima tahun menjelajah seluruh Sabah, bertemu dengan pemimpin dan wakil-wakil orang asal Sabah, tidak sedikit pun cabaran yang mereka tempuh itu membuatkan mereka berputus asa.
Kerja keras dan penat lelah Sunduan Nabalu dan kumpulan orang asal, cikgu dan pelajar yang bersama dengannya kini sudah membuahkan hasil apabila wujud kerjasama di antara Sekolah Adat Anak Negeri dengan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) dari UMS.