KOTA KINABALU: – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan salah satu daerah di negeri ini disyaki meminta dan menerima rasuah.
Wang kira-kira RM11,000 itu daripada sebuah syarikat sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat tersebut yang melakukan kesalahan jalan raya.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 4.30 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun tambah beliau, suspek ditahan selama 24 jam dan dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.