Bung Mokhtar…UMNO bukan parti yang lemah.
KOTA KINABALU : – Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar Radin berkata UMNO Sabah tidak perlu terburu-buru dalam mencari rakan gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) kerana UMNO bukan parti yang lemah.
Ketua UMNO Sabah itu menjelaskan fokus utama kini memperkukuh kekuatan dalaman dan memastikan setiap ahli serta jentera UMNO Sabah bersiap sedia untuk menghadapi PRN17 dengan keyakinan tinggi.
“UMNO Sabah sentiasa berlapang dada dalam menentukan masa depan serta hala tuju parti menjelang PRN17,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Dalam usaha mengembalikan UMNO Sabah ke landasan yang tepat, kita sedar bahawa perjalanan ini tidak mudah, malah penuh dengan cabaran serta rintangan, ” katanya.
Menurut Bung, dengan keazaman dan kebijaksanaan kepimpinan serta seluruh ahli UMNO Sabah, segala kesulitan yang dihadapi sebelum ini berjaya diatasi.
Beliau yakin hari ini, UMNO Sabah berdiri kukuh di landasan yang benar.
Jelasnya sebagai sebuah parti yang telah lama berakar umbi di Sabah, UMNO mempunyai hak untuk memilih dengan siapa ia ingin bergabung.
Tetapi, sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik, keutamaan kita adalah memperkukuh jentera parti di semua peringkat.
Katanya UMNO harus memastikan berada dalam keadaan yang kuat, ” kerana jika kita dominan, mana-mana pihak yang bergabung dengan kita juga akan melihat UMNO sebagai pemimpin utama dalam landskap politik negeri ini.”
Dalam ucapan Presiden UMNO sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di Tawau baru-baru ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah menegaskan betapa pentingnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi kuasa politik dominan dalam PRN17 akan datang.
Beliau turut mengingatkan kita agar tidak lagi mudah percaya dengan janji-janji manis pihak tertentu yang mahu bekerjasama, tetapi akhirnya hanya merugikan UMNO Sabah.
Bung berkata berdasarkan pengalaman lalu, UMNO Sabah telah merangka strategi tersendiri dan memiliki pasukan yang mantap dalam menghadapi sebarang situasi politik.
“Kami tidak perlu terburu-buru dalam mencari rakan gabungan kerana UMNO bukan parti yang lemah,” katanya.
Bung yakin dengan sokongan padu daripada rakyat Sabah, UMNO akan terus berjuang demi kestabilan dan kemajuan negeri ini.