KOTA KINABALU : – Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kes rasuah dinegara ini.
Naib Presiden Bersatu merangkap
Ketua BPN BERSATU Sabah itu berkata kenyataan terbaharu Perdana Menteri bahawa beliau tidak peduli dengan sebesar mana atau setinggi mana kedudukan seseorang yang terpalit dengan rasuah, merupakan tekanan kepada SRPM yang menolak bukti video dalam skandal rasuah melibatkan beberapa ADUN di Sabah.
Kiandee berkata alasan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa video yang memaparkan secara terang lagi jelas mengenai rasuah projek cari gali mineral telah disunting dan tiada kredibiliti, dilihat bertentangan sama sekali dengan naratif dan kesungguhan Perdana Menteri, yang cuba menggambarkan dirinya sebagai pejuang anti rasuah.
“Dalam hal ini, BERSATU Sabah menyeru agar SPRM melihat semula kenyataan bekas Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, bahawa video skandal rasuah ADUN Sabah merupakan bukti yang wajib disiasat, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Latheefa menegaskan dia tidak bersetuju dengan kenyataan Azam Baki bahawa video disunting tidak boleh dijadikan bukti.
Jesteru, dalam kes ADUN Sabah ini, Kiandee yakin SPRM akan bertindak selari dengan kenyataan Perdana Menteri yang tidak peduli dengan kedudukan atau jawatan mereka yang terpalit rasuah.
“Saya juga pasti SPRM tidak berhasrat melihat kerajaan Madani ini dilabel sebagai tidak serius dan mengamalkan penyiasatan serta pendakwaan terpilih dalam usahanya memerangi rasuah,” katanya .