Minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya dirampas.
Oleh Nilam Raon
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 680 paket minyak masak bersubsidi menerusi Op Taring Gelora, di perairan Tanjung Manimpa, di sini Selasa.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pihaknya mengesan sebuah bot sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 8.30 malam Selasa.
Menurutnya, mereka mengejar dan memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan. Bagaimanapun seorang lelaki dipercayai juragan bot bertindak melarikan diri ke perairan cetek berdekatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot, kita berjaya menemukan sebanyak 680 paket minyak masak bersubsidi dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media di sini Rabu.
Ahmad berkata, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM18,600.
“Rampasan itu diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.