Nenek Pariem (duduk hadapan) bergambar kenangan bersama Sammi dan ahli Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah di hadapan rumah baharunya.
Oleh Nilam Raon
TAWAU: Seorang wanita warga emas yang hilang tempat berteduh mendapat perhatian daripada Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah. Dia kini ada rumah baharu hasil bantuan persatuan itu dan orang ramai.
Sebelum ini tular kisah Pariem Tukijan, 80, yang diarah mengosongkan tanah dan pondok tempat tinggalnya kerana pemilik mahu tanahnya balik.
Pariem, 80, yang mesra dengan panggilan Nenek Pariem hidup sebatang kara dan kisahnya menjadi tular selepas salah seorang pengguna media sosial TikTok memuat naik kisahnya.
Pengerusi Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah, Sammi Liew Sam Yi berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu nenek Pariem memandangkan hidupnya yang sebatang kara.
“Kami mendapat tahu, ada seorang penduduk di Kampung Kongsi 8 yang sudi memberikan tapak tanah untuk pembinaan rumah nenek Pariem.
“Justeru, kami segera menjalankan kutipan dana melalui sumbangan orang ramai dan pemimpin di daerah ini untuk membina sebuah rumah yang sederhana untuk didiaminya,” katanya ketika ditemui di sini.
Sammi berkata, projek bantuan Rumah Harapan Rakyat ini adalah yang pertama dilaksanakan oleh persatuan itu sejak diwujudkan pada 6 Julai lalu.
“Saya berharap dapat membantu lebih ramai lagi golongan yang kurang berkemampuan di daerah ini termasuklah dari segi memberi bakul makanan dan bantuan lain.
“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk bersama-sama dengan Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan di daerah ini,” tambahnya.