Hajiji sampaikan sijil anugerah cemerlang kepada Chung Jia Chi di majlis penyampaian ke 34 ABCNS di Auditorium Tun Ahmad Raffae Menara Tun Mustapha pada Selasa.

KOTA KINABALU (Selasa 1 Ogos): Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti punca dan kenapa ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 di Sabah tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lalu.
Katanya, berdasarkan laporan hanya seramai 34,461 pelajar daripada 40,147 yang mendaftar di Sabah menduduki peperiksaan SPM 2022.
Menurutnya, laporan Menteri Pendidikan baru-baru ini bahawa seramai 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022 mendaftar untuk ulangan peperiksaan itu tahun ini.
“Saya memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak kita atau sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi.
“Justeru, berapa pun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM 2022 di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka,” katanya menambah bahawa trend ini membimbangkan.
Hajiji mahu semua pelajar dari Sabah yang tidak menduduki SPM 2022, ambil peluang untuk berbuat demikian pada tahun ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha pada Selasa.
Seramai 40 pelajar terpilih menerima ABCNS.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Kadzim M Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sr. Haji Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya.
Hajiji berkata, walaupun ada peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN), keputusan SPM 2022 bagi negeri Sabah daripada 5.35 mata pada 2021 kepada 5.22 mata pada tahun 2022, namun ia masih jauh berbanding GPN kebangsaan sebanyak 4.74.
“Pada masa yang sama jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini juga melebar daripada 0.53 mata pada 2021 kepada 0.61 mata pada 2022.
“Kerajaan Negeri mengambil berat mengenai isu ini dan ia harus diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelemahan yang wujud,” tegasnya.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, sejumlah RM668 juta dibelanjakan oleh Kumpulan YS, sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada seramai 41,221 pelajar Sabah.
Katanya, semua itu dilakukan demi membantu kewangan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bagi memastikan mereka dapat mengakses pendidikan yang berkualiti,” tegasnya.
Menyentuh ABCNS, beliau berkata sehingga kini, seramai 715 pelajar mendapat manfaat dari program itu yang menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta.
Menurutnya, penerima ABCNS merupakan aset masa depan dan mempunyai peranan penting dalam memacu pembangunan negeri ini.
Sebagai pemimpin masa depan, mereka harus mempunyai keupayaan mengaplikasikan kemahiran untuk memenuhi permintaan pasaran selaras dengan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kemajuan teknologi.
“Dalam era Revolusi Industri 4.0 yang sedang kita alami ini, kemahiran teknikal yang tinggi diperlukan untuk memenuhi keperluan industri agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.”
“Saya mahu penerima ABCNS menggunakan peluang ini dan sentiasa ada sifat ingin tahu serta berani meneroka aplikasi seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), Realiti Maya (Virtual Reality) dan gamifikasi (Gamification) sebagai langkah ke arah mewujudkan masyarakat celik,” katanya.