Sawah padi Kampung Siasai Dundau Kota Belud yang terbiar sejak 2015.

Oleh Hardy Joe
Foto Mohd Syukrie Johary
KOTA BELUD (Khamis 24 Ogos): Kampung Siasai Dundau yang dahulunya antara kawasan penanaman padi sawah di daerah ini akan kembali hidup dengan kegiatan itu yang terhenti sejak 2015.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, usaha membuka semula sawah terbiar di perkampungan itu sebagai kawasan penanaman padi sedang giat dilaksanakan agensi kerajaan berkaitan.
“Berpunca bencana alam gempa bumi yang menjejaskan Kota Belud pada 2015, maka kawasan sawah Kampung Siasai Dundau menjadi hutan kecil kepada petani perkampungan itu.
“Justeru, dalam lawatan di perkampungan itu semalam, saya minta Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud mencari kaedah membuka semula sawah di perkampungan itu untuk penanaman padi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Difahamkan, kegiatan penanaman padi sawah Kampung Siasai Dundau itu membabitkan lebih 30 petani dengan keluasan sawah mencapai 100 hektar.
“Saya minta agensi kerajaan IADA dan JPS Kota Belud ketika lawatan ke Kampung Siasai Dundau menghidupkan semula kegiatan pertanian di perkampungan itu,” katanya.
Isnaraissah berkata, masalah yang sama juga berlaku sawah milik penduduk Kampung Sumpingon yang sukar mendapat sumber air untuk pengairan sawah.
“Saya meninjau masalah penanaman padi di Kampung Sumpingon yang berdepan kesukaran memperoleh air untuk sawah petani. Oleh itu, saya gesa JPS mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah dihadapi petani jangka masa pendek dan panjang,” katanya.