KOTA KINABALU (Khamis 24 Ogos): Awas! Saman tembak laju atau dikenali saman ekor di seluruh negara sudah dikuatkuasakan bagi mereka yang ingkar tidak mengikut had laju jalan raya.
Saman trafik RM300 akan dikenakan kepada pengguna jalan yang didapati salah selepas ‘ditembak’ laju oleh polis yang bertugas.
Oleh itu, berwaspadalah dan berhemah ketika berada di jalan raya untuk keselamatan semua dan juga mengelak daripada disaman polis trafik.
Kenyataan polis dikeluarkan semalam memberitahu, pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan bakal berhadapan tindakan saman tembak laju atau dikenali saman ekor di seluruh negara.
Operasi berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan tersebut di jalan persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman.
Notis saman K170A tersebut akan dipos ke alamat kediaman pesalah tratik.
Pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan melanggar had laju yang ditetapkan akan dikenakan saman kompaun sebanyak RM300.