Dr Jelani. Hamdan…SAMORA berdiri teguh dan menyokong penuh Tun Musa Aman
KOTA KINABALU : – Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) menggesa agar pertikaian mengenai sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman tahun ini dihentikan dengan segera, bagi mengelakkan imej institusi istana negeri tercalar.
Presidenya Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, kekeliruan yang timbul hanya berpunca daripada kesilapan dalam kenyataan atau penggunaan istilah yang kurang tepat oleh pihak yang melaporkan kenyataan yang dibuat oleh yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskendalikan sambutan Hari Jadi Rasmi TYT ini.
“SAMORA menggesa supaya pertikaian berhubung pelaksanaan sambutan Hari Jadi Rasmi TYT bagi tahun ini dihentikan serta-merta.
“Ini bagi menamatkan sebarang kemungkinan tercalarnya imej institusi TYT di negeri ini dan mengutuk sebarang cubaan berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, setelah meneliti perincian pelaksanaan sambutan itu, SAMORA menegaskan bahawa sambutan Hari Jadi Rasmi TYT bagi tahun 2025 ini tidak melanggar Perlembagaan Negeri, atau mana-mana undang-undang serta peraturan yang terpakai di negara ini.
“SAMORA juga mendapati kerajaan negeri Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, tidak melakukan sebarang kesalahan, khilaf atau sebarang pembaziran berhubung pelaksanaan sambutan hari jadi TYT ini.
“Sebaliknya, usaha telah dibuat bagi memastikan penjimatan kos perbelanjaan bagi pelaksanaan hari jadi tersebut secara telus dan berhati-hati. Justeru, pelaksanaan sambutan hari jadi TYT bagi tahun 2025 ini selari dengan keperluan yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Negeri Sabah.”
SAMORA turut menegaskan bahawa mereka berdiri teguh dan menyokong penuh TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah dan berharap tiada lagi polemik yang timbul sama ada soal perlantikan TYT atau isu sambutan Hari Jadi TYT.