Shalmon…tuntutan hak 40 peratus ini adalah maruah dan hak ekonomi Anak Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Masyarakat anak negeri adalah kumpulan yang paling gembira selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menyebelahi Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) dan memerintahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Presiden Pertubuhan Masyarakat Adat Anak Negeri Sabah (Sunduan Nabalu) Shalmon Sanangan berkata, tuntutan hak 40 peratus ini adalah maruah dan hak ekonomi Anak Negeri Sabah.
“Ia mesti dipulangkan kepada Sabah. Hasil itu nanti digunakan untuk memajukan Sabah yang masih kurang pembangunan dan untuk kesejahteraan hidup masyarakat anak negeri,” katanya.
Awal bulan Oktober, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk membuat semakan semula bersama kerajaan Sabah berhubung kelayakan hasil 40 peratus yang sepatutnya diberi kepada Sabah mengikut perlembagaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid membenarkan semakan kehakiman difailkan SLS berkaitan hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil bersih dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
Semakan kehakiman itu difailkan SLS pada 2022.
Menurut Shalmon, pertubuhannya dianggotai ribuan anak negeri tetapi malangnya majoriti masih hidup dalam kemiskinan, dan mereka menyambut baik keputusan itu yang dianggap sebagai satu keputusan bersejarah.
“Kami menyambut baik dengan penuh rasa syukur dan keyakinan dengan keputusan itu yang secara tidak langsung ‘mengisytiharkan kegagalan’ Kerajaan Persekutuan menunaikan hak Perlembagaan Sabah sejak tahun 1974 itu.
“Persekutuan gagal menunaikan hak Perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil yang diperolehi dari Sabah sejak tahun 1974 yang mana ia adalah tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan,” tambahnya.
Sunduan Nabalu katanya menyokong dan akan mengulangi apa yang sudah dikatakan oleh semua pihak yang sebulat suara meminta Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat sebarang rayuan terhadap keputusan itu.
“Sebarang rayuan terhadap keputusan itu adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya.
“Perlu diingat bahawa keputusan itu adalah satu penegasan semula terhadap kontrak suci yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang merupakan asas persetujuan masyarakat adat Anak Negeri Sabah untuk membentuk Persekutuan Malaysia,” katanya tegas.
Menurut Shalmon, hak 40 peratus ini bukan sekadar angka, tetapi adalah janji yang mengikat, termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Kesepuluh.
Beliau menegaskan keputusan itu adalah pengiktirafan Perlembagaan. Keputusan Mahkamah membuktikan bahawa hak 40 peratus ini adalah tanggungjawab perlembagaan yang wajib ditunaikan.
Sebarang perintah pemberian khas yang sebelum ini dikeluarkan tanpa semakan yang sah adalah tidak rasional dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, jelasnya.
Kegagalan melaksanakan undang-undang ini selama hampir lima dekad adalah gambaran ketidakpatuhan serius kepada Perlembagaan dan secara langsung tidak menghormati hak-hak asasi, martabat dan semangat persetujuan masyarakat adat Anak Negeri di Sabah.
“Kami memandang ketidakpatuhan ini sebagai pencabulan kepercayaan yang meletakkan Sabah dalam kedudukan yang tidak adil,” katanya dan menambah bahawa ini menyentuh kedaulatan Masyarakat adat.
Dengan perkembangan terbaharu itu katanya, satu tindakan segera diperlukan untuk mencipta satu formula untuk melaksanakannya pembayaran.
“Masyarakat adat menyokong sepenuhnya perintah mandamus Mahkamah yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk memulakan semakan hasil baharu bersama Kerajaan Sabah dalam tempoh 90 hari dan menyiapkannya dalam 180 hari.
“Kami menuntut agar semakan ini dilaksanakan dengan telus dan bertanggungjawab untuk menentukan jumlah sebenar yang terhutang bagi setiap tahun kewangan sejak tahun 1974.
“Kami juga menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan sebarang usaha merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini dan segera memulakan proses pemulangan hak 40 peratus hasil berkenaan,” katanya.
Kegagalan bertindak katanya, hanya akan memanjangkan lagi ketidakadilan dan merosakkan lagi hubungan antara Persekutuan dan Sabah.



