Monday, July 22, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

Isu MA63: Mahkamah menetapkan 18 Jun ini untuk keputusan kes rayuan SLS

Datuk Nor Asiah…Pejabat Peguam Besar Negeri komited sepenuh dalam menuntut hak perlembagaan negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini, pada Jumaat menetapkan 18 Jun untuk keputusan rayuan terhadap kebenaran yang diberikan dalam semakan kehakiman berhubung Hak Pemberian Khas 40 peratus hasil untuk Negeri Sabah.

Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh tersebut semasa mengadakan pengurusan kes berlangsung secara dalam talian yang turut dihadiri Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof mewakili Kerajaan Negeri Sabah bersama dengan Datuk Brenndon Keith Soh, Penasihat Undang-Undang Khas kepada Ketua Menteri, Devina Teo dan Roland Alik, Peguam Negeri Kerajaan Negeri.

Menurut Nor Asiah, Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan bahawa Tetuan F.T Ahmad & Co tidak lagi bertindak untuk Kerajaan Negeri Sabah dan bahawa Pejabat Peguam Besar Negeri telah mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan penjagaan perkara ini.

Katanya, setelah meneliti dan mengkaji perkara ini dan prosiding yang telah berlaku, Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan mengenai kedudukan-kedudukan seperti berikut, oleh kerana Kerajaan Negeri tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 11 November 2022, Kerajaan Negeri menerima keputusan tersebut iaitu, bahawa kebenaran diberikan untuk perkara ini dibicarakan berdasarkan merit semasa pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman.

“Selain itu, Kerajaan Negeri menarik balik semua penghujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan mengenai isu “locus standi” Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) kerana ini tidak dikemukakan atau dihujahkan di Mahkamah Tinggi oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri menarik balik penghujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan yang merujuk kepada Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai “aspirasi” dan bukan hak mandatori atau mutlak Negeri Sabah.

“Mahkamah Rayuan telah merekodkan kedudukan-kedudukan ini dan telah menetapkan keputusan perkara ini pada 18 Jun 2024,” kata Nor Asiah dalam kenyataannya hari ini.

Beliau turut memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah Pejabat Peguam Besar Negeri komited sepenuh dalam menuntut hak perlembagaan negeri Sabah.

“Saya memberi jaminan kepada seluruh rakyat bahawa Pejabat Peguam Besar Negeri komited sepenuhnya dan akan terus kekal teguh untuk rakyat Sabah bagi menegakkan hak perlembagaan Negeri Sabah seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Sementara itu, lebih 100 orang rakyat dari seluruh daerah pelusuk Sabah hadir di ruang legar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dan mahu menyaksikan sendiri prosiding yang dijalankan pada hari ini.

Bagaimanapun, walaupun ianya dijalankan secara dalam talian tidak mematahkan semangat rakyat Sabah untuk sama-sama berjuang memberi sokongan ke atas usaha kerajaan dan SLS berhubung mendapatkan hak-hak negeri Sabah.

SLS pertama kali memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 9 Jun 2022, untuk membatalkan warta kerajaan persekutuan mengenai geran tahunan RM125.6 juta untuk Sabah, dengan alasan ia melanggar hak hasil negeri di bawah MA63.

Kerajaan persekutuan dinamakan sebagai responden pertama manakala kerajaan negeri Sabah adalah responden kedua.

Semakan kehakiman adalah untuk memaksa kerajaan persekutuan membayar 40 peratus bahagian hasil yang terhutang kepada negeri sejak tahun 1974 termasuk tunggakan, dan untuk mendapatkan pengisytiharan 40 peratus kelayakan seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Persekutuan Perlembagaan.

Popular Articles