Friday, July 5, 2024
spot_img

Top 5 This Week

spot_img

Related Posts

BBC GRS-PH SABAH mahu Kerajaan Persekutuan tarik balik pelantikan JKDM di Sabah

Ahli-Ahli BBC GRS-PH Sabah

KOTA KINABALU: BBC GRS-PH Sabah berpendirian tegas bahawa tidak bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah dan meminta Perdana Menteri campur tangan untuk menarik semula pelantikan.

Menerusi kenyataan bersama Ahli-Ahli BBC GRS-PH Sabah, hari ini, Pengerusinya Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pelantikan JKDM ini bukanlah dasar Kerajaan Persekutuan yang dibentang di Parlimen untuk kelulusan perbelanjaan bagi tujuan tersebut.

Katanya, penggunaan wang rakyat bagi pembiayaan elaun bagi jawatan ini hanya bermotifkan politik dan merupakan sebagai satu pembaziran yang merugikan rakyat.

“Perkara ini juga jelas bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri untuk mempromosikan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika pembentukan Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dimana tiada majoriti mudah dikalangan parti yang bertanding.

“Sekiranya ia adalah Dasar Kerajaan Persekutuan,mengapa negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Pulau Pinang tidak ada pelantikan jawatan seumpama,” katanya.

Menurutnya, Di Sabah, penubuhan JKDM ini bercanggah dengan keputusan Kerajaan Negeri menerusi Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-16 Penggal Keempat pada November 2023 yang meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

Katanya, ordinan itu telah memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang memainkan peranan dalam pentadbiran kampung dalam pelbagai aspek tadbir seperti keselamatan dan pembangunan untuk kemajuan kampung.

“Selain daripada mencabuli Perlembagaan Negeri Sabah, perkara ini juga akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat akar umbi. Sebenarnya pengurusan dan pentadbiran peringkat kampung, selain Ketua Kampung, JKKK adalah salah satu entiti yang bertanggungjawab untuk memastikan keperluan dan juga keselamatan di setiap kampung.

“Sekiranya JKDM dilantik maka akan berlaku pertindihan kuasa, fungsi dan tugas yang boleh menyebabkan berlaku ketegangan. Perkara ini juga akan menyulitkan pengurusan di peringkat  Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran,” tegasnya.

Beliau berkata, walaupun apa sahaja alasan diberikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang juga ADUN Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa penubuhan JKDM tidak bercanggah dan lebih kepada memperkasa ekonomi dan keusahawanan tetapi sebenarnya ia bertindih dan mengelirukan.

Dr Yusof berkata, sepatutnya, program keusahawanan di peringkat negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah dan peringkat nasional Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diterajui Menteri, Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Penampang yang juga ADUN Kadamaian.

“Sepatutnya program keusahawanan dilaksanakan dibawah KUSKOP dan dikordinasikan dibawah MIDE. Justeru, tidak perlu lagi JKDM ini diwujudkan di Sabah bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab yang mengelirukan rakyat dan pembaziran dana,” katanya.

Beliau menambah, ahli BBC GRS-PH Sabah, Datuk Ewon Benedick (ADUN N.43 Kadamaian) telah menyatakan pendirian secara berani dan tegas di Kabinet Persekutuan tidak bersetuju penubuhan JKDM tanpa memikir soal risiko peribadi sebagai Menteri Persekutuan, namun jelas keikhlasan kejujuran beliau kepada negeri Sabah tercinta.

Katanya, ahli-ahli BBC GRS-PH Sabah menentang mana-mana pihak dari luar dan dalam Sabah yang mahu memecahbelahkan, mengganggu kehormanian yang kita bina semula setelah kehancuran Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018.

“Permuafakatan dibina yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah  Datuk Seri Panglima i Hajiji Noor terhadap perpaduan suku kaum dan parti-parti tempatan jelas memperlihat keyakinan mereka kepada Kerajaan Negeri sekarang pimpinan beliau.

“BBC GRS-PH Sabah meminta Kerajaan Negeri mengambil keputusan tegas untuk tidak mengiktiraf penubuhan JKDM di Sabah dan meminta Kabinet Kerajaan Persekutuan membatalkan lantikan JKDM di Sabah,” kata Dr Yusof.

Popular Articles