SEMPORNA : – Dua orang maut dalam kemalangan jalanraya melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 51, Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau disini pagi tadi.
Seorang lelaki maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan meninggal dunia di hospital.
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna SUPT Mohd Sabri Zainol akibat daripada perlanggaran pemandu van meninggal ditempat kejadian manakala pemandu double cab mengalami cedera parah dan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Semporna..
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987, ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 7.32 pagi, dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna yang diketuai oleh PBK II Mohd. Shukri Mohd. Hamsah tiba di lokasi kejadian pada jam 8.07 pagi.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Nissan Urvan dan sebuah kenderaan Toyota Hilux Vigo yang bertembung.
Akibat kejadian itu, kedua-dua pemandu tersepit dalam kenderaan masing-masing.
Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an yang memandu van Nissan Urvan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jenazahnya kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux Vigo, seorang lelaki berusia 38 tahun, mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Semporna menggunakan ambulans KKM.
Operasi menyelamat berakhir pada jam 8.50 pagi. Insiden ini turut melibatkan kerjasama PDRM (empat anggota) dan KKM (tiga anggota).
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.