Yunus Nurdin
KOTA KINABALU : – Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( BERSATU) Sabah yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 14 Februari lepas mendesak pihak berwajib khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera mengambil tindakan tegas terhadap skandal video rasuah melibatkan ADUN-ADUN Sabah.
Setiausaha BPN BERSATU Sabah Yunus Nurdin berkata, sebarang alasan bagi melengahkan siasatan adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“BPN BERSATU Sabah juga menzahirkan rasa kecewa yang teramat sangat dengan masalah gangguan elektrik, bekalan air bersih serta keadaan jalan raya yang rosak teruk, yang semakin kritikal sejak dua tahun lalu.
“BERSATU Sabah menuntut Kerajaan Negeri GRS mengambil tanggungjawab dengan menyelesaikan segera masalah asas ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Yunus berkata, pada masa yang sama, BPN Sabah juga menyelami denyut nadi rakyat yang terbeban dan terseksa dengan kenaikan kos sara hidup, yang melambung tinggi khususnya di negeri Sabah, yang gagal ditangani secara berkesan oleh pihak kerajaan.
Dalam pada itu, mesyuarat juga bersetuju membuat perlantikan-perlantikan berikut iaitu:-
i) Setiausaha Negeri:
Yunus Nurdin.
ii) Bendahari Negeri:
Lim Ting Kai.
iii) Ketua Penerangan Negeri: Suhaimi Buang.
iv) Ketua Srikandi Negeri:
Rahimah Majid.
v) Ketua Srikandi Muda Negeri: Nabila Norsahar.