Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau memalu gong sebagai simbolik sambutan Pesta Kaamatan membabitkan lima kampung di Kampung Kauluan, Tamparuli.

Oleh Hardy Joe
Foto Mohd Syukrie Johary
TAMPARULI: Walaupun diadakan luar bulan Mei, kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan tetap dirasai penduduk lima kampung di daerah ini.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyifatkan sambutan Kaamatan gabungan lima kampung itu membuktikan semangat kebersamaan dan cinta budaya masih berkobar di kalangan penduduk setempat.
“Sambutan membabitkan Kampung Kauluan, Kauluan Ulu, Nohirot, Dansangai dan Telibong itu menjadi wadah penduduk untuk datang berkumpul untuk memeriahkan sambutan.
“Walaupun diadakan luar Mei, namun saya lihat penduduk masih bersemangat datang memeriahkan sambutan itu.
“Saya berasa sangat gembira berkesempatan untuk turut menyaksikan semangat yang tinggi terutamanya melalui persembahan tarian mogigol,” katanya merasmikan sambutan itu di Dewan Serbaguna Kampung Kauluan, di sini pada Sabtu.
Tangau berkata, perayaan seumpama itu sangat penting dan mesti terus dirayakan, bukan hanya untuk merangkai ikatan perpaduan semua penduduk.
Sehubungan itu, beliau berkata, sambutan kaamatan penting dalam memupuk cinta kepada bahasa ibunda sendiri terutama dalam kalangan generasi muda.
Sambutan itu dimeriahkan dengan gerai jualan kraftangan, makanan, persembahan kebudayaan dan sukan rakyat.
Pesta Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei di seluruh Sabah dengan acara kemuncak diadakan pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan KDCA Penampang. Namun sambutan masih boleh diteruskan selepas Mei.