TUARAN: Pengerusi Sabah Electricity Board Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata beliau sedang menghadiri sebuah acara di Kampung Pahu Lama Kiulu, apabila mendapat khabar bahawa gudang penyimpanan kabel SESB di Batu 7 Darau Menggatal telah terbakar.
“Walau bagaimanapun saya perlu menunaikan sebuah majlis berbuka puasa anjuran SESB di Masjid Ubudiyyah, Tamparuli yang telah dijadualkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan di media sosial pada Khamis.
Acara ini diadakan untuk menyantuni lebih 100 golongan asnaf disamping wakil-wakil masjid dan surau di sekitar daerah ini.
“Selesai berbuka dan beramah mesra dengan para hadirin, saya dan CEO SESB Mohd Yaakob Haji Jaafar terpaksa meminta diri dan kemudian segera bergegas ke lokasi stor kabel yang masih terbakar,” jelas Ahli Parlimen Tuaran itu.
Katanya, ketika tiba di lokasi, beliau dimaklumkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BB P) Lintas, Agustavia Joe Guasi bahawa anggaran luas keseluruhan kawasan adalah 3.7 ekar di mana kawasan yang telah mengalami kebakaran adalah seluas 3 ekar.
Operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu, Lintas, dan Penampang.
Namun, cabaran utama timbul apabila bekalan air dari tangki Jentera, pili bomba yang berhampiran, dan tangki air tidak mencukupi.
Ini menyebabkan pihak bomba terpaksa menggunakan sumber air terbuka seperti parit yang berdekatan.
Keadaan tersebut telah melambatkan proses pemadaman kerana tekanan air yang tidak mencukupi.
“Syukur, setakat pukul 9:20 malam tadi, kawasan stor transformer dan jentera berat berjaya diselamatkan dan keadaan api sudah berada dalam kawalan,” katanya.